MAYAT YANG DIGALI ILMU BELUM DIPULANGKAN
“Jangan sesiapa buka bilik belakang rumah aku… sampai cukup empat puluh malam.”
Sejak kematiannya, kampung mula diganggu perkara pelik. Ayam mati tanpa kepala.
Bau hanyir muncul setiap kali hampir Maghrib. Dan paling menakutkan…ada orang
ternampak kelibat Tok Karim berdiri dekat kuburnya sendiri selepas tengah
malam.
Namun gangguan sebenar bermula apabila kubur Tok Karim didapati berlubang dari
dalam. Bukan digali dari atas. Tetapi seperti… sesuatu menolak keluar dari
bawah tanah.
Masalahnya… lelaki itu ialah Tok Karim sendiri. Tubuh reput berselut tanah.
Kain kafan koyak. Dan kedua-dua tangannya masih menggali kuburnya sendiri
sambil berbisik….
“Ilmu belum dipulangkan…”
Kemudian dia terdengar bunyi. Cak… cak… cak… Seperti bunyi cangkul menghentam
tanah basah. Faiz mengangkat kepala perlahan. Bunyi itu datang dari kawasan
kubur lama.
Awalnya dia malas ambil peduli. Tetapi semakin lama…bunyi itu semakin laju. Dan
diselang-seli dengan bunyi nafas berat. Faiz menelan air liur.
“Ada orang gali kubur ke malam-malam ni…”
Dia menyorot lampu telefon ke arah pagar kubur. Kabut nipis bergerak perlahan
di celah batu nisan. Kemudian..dia nampak seseorang sedang mencangkung
membelakangi dirinya Menggali tanah. Tubuhnya kurus. Memakai kain putih lusuh. Bahu
bongkok.
Faiz memanggil perlahan. “Oi…” Tiada jawapan.
Lelaki itu terus menggali. Semakin laju. Tanah basah terpelanting ke kiri
kanan.
Faiz melangkah masuk ke kawasan kubur. Dan ketika cahaya telefon terkena tepat
ke tubuh lelaki itu..jantungnya terus terasa berhenti.
Kain putih itu sebenarnya kain kafan. Tubuh itu hitam kebiruan. Kulitnya
menggelupas. Dan di belakang tengkuknya masih ada kesan kapas kafan yang
melekat bersama tanah kubur.
Lelaki itu berhenti menggali. Perlahan-lahan dia memusingkan kepala. Wajah Tok
Karim muncul di bawah cahaya samar. Mata putih sepenuhnya. Mulut dipenuhi tanah
hitam. Dan ulat masih bergerak keluar masuk di celah pipinya yang reput.
Faiz terus terjatuh ke belakang.
Tok Karim tersenyum perlahan.
“Dia belum ambil balik…”
Suara itu bukan seperti manusia. Seperti banyak suara bercakap serentak dari
dalam kerongkong reput.
Faiz cuba bangun. Tetapi Tok Karim tiba-tiba berdiri terlalu pantas. Tubuhnya
berbunyi patah-patah. Dan tanah di sekeliling kubur mula bergerak perlahan. Seolah-olah
ada benda lain sedang merangkak di bawah permukaan.
Faiz lari lintang-pukang keluar dari kubur. Namun sebelum dia sempat keluar
pagar…dia terdengar suara berbisik betul-betul dekat telinganya.
“Ilmu itu lapar…”
Keesokan paginya, orang kampung menemui Faiz pengsan depan surau. Tubuhnya
panas seperti terbakar. Dan sepanjang dia meracau…dia asyik menyebut…
“Jangan bagi dia balik rumah…”
Tok Imam bersama beberapa lelaki kampung pergi memeriksa kubur Tok Karim. Semua
terdiam. Kubur itu memang berlubang. Tanahnya pecah dari dalam. Dan di atas
kubur…ada kesan tapak kaki berlumpur keluar menuju ke arah rumah lama Tok
Karim.
Malam itu, anak Tok Karim akhirnya membuka bilik belakang rumah arwah bapanya.
Bilik itu gelap. Berbau busuk melampau. Di tengah bilik terdapat sebuah peti
kayu lama. Berkunci dengan kain kuning lusuh. Dan di dinding… ratusan tangkal
tergantung bersama cebisan rambut dan kuku manusia.
Tok Imam membaca ayat suci perlahan. Kemudian beliau membuka peti itu. Isi di
dalamnya membuat semua orang pucat. Bukan duit. Bukan kitab.
Tetapi beberapa botol kaca berisi tanah kubur… bersama cebisan kain kafan lama.
Dan di bawah semua itu..ada satu tengkorak kecil yang masih dibalut kain merah.
Tiba-tiba angin kuat meniup seluruh rumah. Lampu padam sendiri. Dan dari arah
luar…bunyi cangkul mula kedengaran semula. CAK… CAK… CAK…
Semua berpaling ke tingkap. Dalam hujan lebat…Tok Karim berdiri dekat halaman
rumah. Tubuhnya lebih busuk dan reput dari malam sebelumnya. Tetapi kali
ini..dia tidak keseorangan. Beberapa susuk hitam berdiri di belakangnya.
Terlalu kurus. Terlalu tinggi. Dan semuanya memakai kain kafan koyak.
Tok Karim mengangkat kepala perlahan. Mulutnya terbuka luas sampai hampir koyak
ke telinga.
“Pulangkan… apa yang aku pinjam…”
Tiba-tiba semua susuk itu bergerak serentak menuju rumah. Pintu rumah bergegar
kuat. Dinding mula berdentum seperti diketuk dari luar.
Tok Imam melaungkan azan. Dan jeritan bukan manusia terus memenuhi malam
Kampung Parit Janggut. Selepas malam itu, rumah Tok Karim dibakar. Semua barang
di dalamnya ditanam jauh di hutan lama.
Kubur Tok Karim pula disimen penuh oleh penduduk kampung. Namun sehingga hari
ini..penduduk masih mendengar bunyi cangkul dekat tanah perkuburan setiap kali
hujan malam Jumaat. Dan ada yang bersumpah… kadang-kadang mereka nampak seorang
lelaki berkafan berdiri dekat pagar kubur sambil membawa cangkul tua…mencari
sesuatu yang belum dipulangkan.
No comments:
Post a Comment