KISAH
JALI DAN HANTU SIMPANG EMPAT
Ini adalah kisah seorang kawan aku berkenaan pengalamannya ‘dibantu’ oleh hantu. Kawan aku yang bernama Jali ini memang berani dan agak kepala batu sedikit. Di antara ramai kawan, Jalilah yang paling berani dan boleh dikatakan tidak takut kepada sesiapa termasuklah ‘hantu’.
Sifatnya suka melawan pada mana-mana yang dia rasakan tak kena atau tak betul. Dia sebaya dengan aku, cuma kami berbeza kelas semasa tingkatan satu hingga tingkatan lima. Sudah nasibnya, daripada beberapa orang kawan rapat aku, dialah satu-satunya yang kurang berjaya dalam pelajaran. Ketika kami semua beruntung dapat melanjutkan pelajaran di menara gading, dia sudah mula bekerja di kilang.
Walaupun dikira awal memasuki alam pekerjaan, namun Jali tidak pernah lekat dengan satu-satu kerja. Tak sampai setahun bekerja di sesebuah kilang, pasti dia akan bertukar ke kilang lain. Paling lama bertahan pun hanya dua tahun. Bosan katanya.
Kisah yang hendak aku ceritakan ini berlaku ketika Jali bekerja di sebuah kilang memproses kelapa sawit di daerah Kulai Jaya, Johor. Tak tahulah aku, itu kilang ke berapa dia bekerja. Rasa-rasanya yang ketujuh atau kelapan.
Setiap hari, Jali akan menunggang kapcainya ke tempat kerja. Jarak antara rumahnya dengan kilang sawit kira-kira 25 kilometer. Itu adalah jarak terdekat dia berulang-alik ke tempat kerjanya jika melalui jalan pintas atau lebih dikenali oleh orang kampung sebagai ‘jalan dalam’.
Jalan tersebut adalah jalan ladang yang dikelilingi pokok kelapa sawit. Kalau nak ikut besar atau ‘jalan luar’, jarak sebenarnya adalah kira-kira 48 kilometer. Memang jauh perbezaannya, hampir sekali ganda jika ikut jalan dalam.
Pada hari pertama bekerja di kilang itu, Jali ikut jalan luar ke tempat kerjanya. Dia keluar rumah awal, pukul empat pagi. Tujuannya supaya tidak lewat sampai. Selain itu, Jali sendiri tidak pasti jangka masa yang harus diambil untuk sampai ke tempat kerjanya.
Pada hari kedua, Jali ditemani oleh Satar, rakannya yang telah setahun bekerja di kilang tersebut. Kali ini Jali dan Satar tidak ikut jalan besar atau jalan luar, tetapi mereka ikut jalan dalam yang ditunjukkan oleh Satar.
“Lambat kalau ikut jalan luar,” kata Satar.
Bagus juga Satar temankan, walaupun jalan dalam lebih gelap kerana dikelilingi pokok sawit, sekurang-kurangnya cahaya lampu dari kapcai Satar yang baru sebulan dibelinya terang, berbanding lampu kapcai buruknya.
Pada hari ketiga, Satar yang menunjukkan jalan tersebut tidak pergi kerja bersamanya. Kawannya itu kena shift malam. Jadi, Jali ke tempat kerja seorang diri.
Seperti hari sebelumnya, Jali keluar rumah pada pukul empat pagi. Hatinya berbelah bagi sama ada hendak ikut jalan luar yang jauh tapi agak terang atau jalan dalam yang dekat tapi memang gelap. Lampu kapcai buruknya sudahlah malap, kalau kapcainya pula buat hal di tengah jalan, ‘masak’ Jali nanti.
Tapi kalau ikut jalan luar, sudah tentu lambat sampai. Minyak kapcainya pun sekadar ‘ngam-ngam’ saja. Setelah berkira-kira, akhirnya dia mengambil keputusan untuk mengikuti jalan dalam. Jali yakin dia masih ingat lagi simpang-simpang yang harus dituju. Dia yakin dia boleh!
Jali mula bergerak mengikuti jalan pintas tersebut. Setelah agak lama menyusuri jalan dalam, dia memberhentikan kapcainya apabila tiba di sebuah simpang empat.
Di sini, dia mula bingung. Simpang mana yang harus diikut? Ke kiri atau ke kanan? Tidak mungkin dia terus, kerana seingatnya, dia harus membelok ke arah kanan atau kiri. Tanpa berfikir panjang, dia membelok ke simpang kanan.
Dengan yakin Jali meneruskan perjalanannya. Dia terus bergerak sehingga berjumpa dengan sebuah lagi simpang empat. Jali bingung lagi. Hendak ikut yang mana satu? Lama juga dia termenung.
Akhirnya Jali ambil keputusan untuk mengikuti simpang ke kanan. Dia menyusuri perlahan-lahan jalan itu sehingga akhirnya tiba di satu lagi simpang empat. Kali ini Jali betul-betul hairan kerana sekarang ini, dia berada di simpang empat pertama yang dia temui tadi. Jali termenung!
Simpang ini lagi? Dalam hatinya berkata, tak mungkin jalan ini berpusing! Walau apa pun yang Jali fikirkan, memang itulah hakikatnya, jalan tadi sebenarnya berpusing. Dia telah mengikut arah simpang yang salah.
Memandangkan dia telah tersalah pilih jalan, Jali menyusuri ke simpang yang kiri pula. Beberapa minit berlalu, sampailah dia ke satu lagi simpang empat.
Kali ini Jali betul! Simpang yang dia jumpa sekarang bukannya simpang tadi, ia sebuah simpang empat lain! Betullah, memang simpang ini, dia berkata sendiri.
Walaupun telah jumpa simpang lain yang diyakininya betul, masalahnya sekarang, ke mana dia harus tuju? Terus ke depan, ke kanan, atau ke ke kiri. Lama juga Jali berhenti di situ. Jali bingung lagi!
Setelah beberapa minit berhenti mencari arah laluan ke tempat kerjanya, dari jauh Jali terdengar deruan enjin motosikal. Hah, ada pun orang lalu! Jali menantikan motosikal itu. Dia akan mengikut ke mana arah penunggang motosikal itu pergi.
Sudah tentu jalan yang akan dilalui oleh penunggangnya adalah jalan ke tempat kerjanya, atau sekurang-kurangnya membawa dia ke arah itu. Kalau pun tidak ke arah itu, paling tidak pun, mesti ke arah jalan yang terdapat ramai orang. Dari situ, kalau masih tidak berjumpa jalan ke kilangnya, dia boleh bertanyakan dengan orang lain.
Tidak lama kemudian, motosikal yang ditunggu kini sampai di depan Jali. Motosikal itu terus membelok ke kiri. Jali segera mengekorinya. Tapi dia terkejut. Dalam samar-samar gelap dinihari itu, Jali tidak nampak kepala penunggang motosikal di depannya. Senang cerita, penunggang itu tak ada kepala! Yang kelihatan hanyalah badan sahaja, itu pun tak berapa jelas.
“Uiii… tak ada kepala? Ishhh, biar betul ni! Tak mungkin! Tak kisahlah, takkanlah dia tu hantu!” itulah reaksi Jali.
Memang Jali tidak takut langsung. Terkejut? Itu biasalah. Lagipun, agak sukar untuk Jali melihat kepala penunggang motosikal tadi. Ini kerana cahaya lampu kapcainya bukanlah terang sangat, tidak terjangkau pun untuk menyuluh bahagian atas badan penunggang tadi.
Jali juga rasakan yang penunggang tidak berkepala itu cuma perasaannya saja. Apa yang penting baginya, ada orang lain yang ‘menunjukkan’ jalan untuk dia ke tempat kerja. Itu yang mustahak!
Tidak sampai pun seminit dia mengekori penunggang itu, tiba-tiba kelibat penunggang dan motosikalnya hilang. Lesap entah ke mana! Ke arah mana pula orang tu pergi? Jalan tersebut lurus, tiada simpang belok ke kiri atau ke kanan.
Macam mana dia boleh ghaib? Mungkin motor dia laju, motor aku yang perlahan. Itu anggapan Jali.
Lalu, Jali melajukan kapcainya. Lama juga Jali mengejar motosikal ‘di depannya’ yang dia sendiri tidak nampak. Setelah berhempas pulas memutar throttle minyak sehingga maksimum, akhirnya dapat juga Jali mengejar penunggang tersebut. Dia terus melajukan motosikal supaya rapat dengannya.
“Hah kan, ada kepala! Tadi yang aku nampak tak ada kepala, memang betul hanya perasaan aku saja,” sekali lagi dia berkata dalam hati meyakinkan yang penunggang itu sebenarnya bukan hantu.
Apabila berada betul-betul di belakang motosikal yang dikejarnya tadi, Jali membunyikan hon beberapa kali. Tujuannya untuk menarik perhatian penunggang itu supaya menoleh kepadanya. Jika dia menoleh, Jali akan membuat isyarat supaya penunggang tadi memperlahankan motosikalnya.
Setelah beberapa kali membunyikan hon, akhirnya penunggang tadi menoleh ke belakang. Sebaik penunggang itu menoleh, Jali benar-benar tersentap! Dia terperanjat! Hah, tak ada muka!
Memang benar, penunggang yang menolehnya itu tidak bermuka! Dari belakang memang nampak ada kepala, tetapi ditutupi dengan topi seperti yang dipakai oleh tentera Jepun pada zaman tahun 1940an. Topi tersebut panjang dan melindungi kiri dan kanan muka serta menutup bahagian tengkuk penunggang tadi.
Disebabkan terkejut, Jali tidak dapat mengawal kapcainya. Dia terbabas ke tepi jalan dan terjatuh ke dalam semak-semun yang bersempadan dengan deretan pokok sawit.
Walaupun terjatuh, Jali tidak mengalami kecederaan serius. Pakaiannya hanya koyak sedikit di bahagian siku serta lutut, dan menyebabkan kedua-dua bahagian itu mengalami calar-calar sahaja. Sementara itu, penunggang yang tidak bermuka itu, hilang sekelip mata begitu saja.
Setelah Jali bangun dan mengibas-ngibas baju dan seluarnya, dia menghidupkan enjin motosikalnya yang mati semasa terjatuh tadi.
“Oh, cuba nak mainkan aku, ya!” kata Jali sendirian.
Seperti yang dikatakan di awal tadi, Jali memang keras kepala dan bersifat melawan. Itulah Jali atau nama sebenarnya Razali Tugiran, memang tidak kenal erti takut walau dengan ‘hantu’ sekalipun! Sebenarnya dia terjatuh dan terbabas ke semak tadi pun kerana terkejut, bukannya takut!
Jali tergopoh-gapah bergegas mengejar penunggang yang berjaya ‘mengejutkannya’ tetapi tidak berjaya sama sekali menakutkannya itu. Dia terus memulas throttle sampai habis. Tujuannya supaya dapat mengejar penunggang tidak bermuka tadi.
Tak tahulah, sama ada Jali nak menunjukkan yang dia tidak gentar dengan penunggang ‘hantu Jepun’ itu, atau mungkin hendak ‘mengajar’ penunggang tak bermuka tadi, atau mungkin hendak ikut laluan kedua-dua penunggang tadi supaya sampai ke tempat kerjanya. Tapi rasanya, Jali perlukan bantuan tunjuk arah ke tempat kerjanya.
Sementara itu, walaupun kira dah laju Jali memecut motosikalnya, dia masih tak mampu mengejar penunggang yang sudah lesap entah ke mana itu. Jali tidak putus asa dan terus melajukan kapcainya. Walaupun habis throttle dipulas, laju manalah kapcai Jali!
Dalam pada berhempas-pulas mengejar penunggang yang hilang tadi, tiba-tiba Jali terdengar bunyi enjin motosikal dari arah belakang.
“Eh, ada orang di belakang aku? Ini sudah kira bagus,” berkata Jali dalam hatinya.
Kehadiran motosikal di belakangnya itu, sekurang-kurangnya boleh dijadikan teman ke tempat kerjanya, atau setidak-tidaknya dia dapat menunjukkan jalan keluar. Jika Jali tidak dapat mengejar motosikal di depannya, dapat juga dia bergerak saing dengan motosikal yang berada di belakang.
Itu pun kalau niat Jali untuk terus ke tempat kerjanya. Tapi kalau niatnya untuk ‘mengajar’ penunggang kurang ajar yang menyebabkannya terbabas tadi, kemudian baru Jali menunggu motosikal lain yang lalu, nampaknya terpaksa dia lupakan saja hajatnya itu.
Jali menoleh ke belakang. Dia memperlahankan kapcainya supaya motosikal di belakang itu dapat mengejarnya. Tidak lama kemudian, motosikal di belakang itu sudah berada di sebelahnya. Jali menoleh ke arah motosikal itu.
Woo… woo… woo…, nah, itu dia… kali ini Jali terkejut lagi. Terkejut macam tadi! Memang ada motosikal di sebelahnya, namun kali ini penunggang tersebut tidak berkepala!
Disebabkan terkejut, Jali terbabas lagi ke tepi parit! Nasibnya baik kerana parit di tepi jalan tersebut tidak dalam dan tidak berair. Kali ini Jali berjaya mengawal motosikalnya supaya tidak tergolek dan terjatuh.
“Tak ada kepala? Tadi tak ada kepala, lepas itu tak ada muka, yang ini tak ada kepala balik,” tersembur kata-kata daripada Jali seolah-olah ditujukan kepada penunggang tidak berkepala itu.
“Memang hantu dia ni! Ah, ada kepala ke tak ada kepala ke, hantu ‘Jepun’ ke, hantu apa ke, aku peduli apa, asalkan ada orang yang tunjuk jalan, sudah!”
Itulah Jali, memang macam tak ada perasaan langsung. Entah apa pendinding yang Jali pakai, aku pun tak tahu. Tiga kali diuji, eh, dia masih steady lagi. Kalau aku atau orang lain, tak tahulah apa hendak dikata. Mungkin terkencing di situ juga agaknya.
Sementara itu, Jali meneruskan perjalanannya tanpa ditemani sesiapa. Dia ikut nalurinya saja.
Setelah lama menyusuri jalan mengikut nalurinya, akhirnya Jali berjaya sampai ke sebuah lagi simpang empat. Dari simpang empat ini, Jali sudah boleh nampak kilang tempat dia bekerja. Jali sudah jumpa tempat kerjanya! Dua ‘hantu’ tak berkepala dan satu ‘hantu’ tak bermuka itu telah ‘menunjukkan’ jalan kepadanya.
Setelah memarkir kapcainya, Jali terus menuju ke arah empat orang pekerja kilang yang baru sampai. Dia menceritakan apa yang baru saja dia alami tadi.
Namun mereka yang berada di situ tidak terkejut dengan kisah yang Jali ceritakan. Menurut mereka, Jali adalah orang ketiga yang mengalami peristiwa serupa sebagaimana dua pekerja kilang tersebut alami sebelum ini. Semuanya berlaku sewaktu pertama kali melalui kawasan kebun sawit ketika mula bekerja.
Walaupun empat orang pekerja itu tidak terperanjat dengan cerita Jali, namun mereka kagum dengan keberanian Jali. Menurut mereka, inilah pertama kali ada orang kena kacau dengan hantu, tetapi berani pula mengejar hantu tersebut. Inilah pertama kali juga hantu mengacau mangsanya sebanyak tiga kali mungkin disebabkan ‘rasa tidak puas hati’ kerana mangsanya adalah seorang yang berani.
Hari itu, heboh satu kilang tentang kisah Jali. Baru mereka tahu, Jali bukan sembarangan orang. Jali memang berani!
Sehari kemudian, baru Satar dapat tahu yang Jali dikacau oleh tiga ‘hantu’ ketika melalui jalan dalam. Ini kerana hari itu, Satar bekerja shift pagi, sama dengan Jali.
Tetapi reaksi Satar seakan tidak menampakkan kehairanan. Sebenarnya Satar pernah alami peristiwa yang Jali alami sebelum ini. Yang bezanya, Jali diusik tiga kali, tetapi Satar diusik hanya sekali sewaktu dia pergi kerja melalui jalan itu ketika baru bekerja di kilang tersebut.
Walaupun Satar pernah diganggu oleh ‘hantu jalan dalam’, namun tidak siapa pun tahu hal tersebut. Ini disebabkan Satar tidak pernah beritahu sesiapa mengenai pengalamannya itu. Tujuannya supaya orang yang melalui jalan dalam tidak berasa takut. Tapi Jali memang power. Bukan dia lari, sebaliknya dia pergi kejar pula hantu tu!
Catatan : Syahrul Azmy Hj. Aliasak, Bandar Baru Bangi, Selangor.
No comments:
Post a Comment