SUARA
DARI WALKIE-TALKIE PENGAWAL SYIF SEBELUMNYA
Rizal,
seorang pengawal keselamatan baru, ditugaskan menjaga sebuah bangunan pejabat
lama yang telah lama ditinggalkan di pinggir bandar. Bangunan itu sunyi, dengan
hanya beberapa lampu koridor yang masih berfungsi dan lif yang sudah lama
rosak.
Pada malam
pertama, segalanya kelihatan normal… sehingga walkie-talkie miliknya mula
berbunyi.
Suara di
hujung talian memperkenalkan dirinya sebagai “pengawal syif sebelum ini”… dan
memberi arahan rondaan yang pelik… termasuk memeriksa tingkat yang sudah lama
ditutup.
Apabila
Rizal mula mengikuti arahan tersebut, dia sedar sesuatu yang lebih menakutkan… Suara
itu tahu semua pergerakannya… sebelum dia sendiri melakukannya.
Dan dalam buku log lama yang dijumpai di bilik pengawal… Nama “Rizal” sudah pun ditulis… sejak bertahun dahulu.
Bangunan
pejabat itu terletak jauh dari jalan utama. Dindingnya sudah kekuningan, kaca
tingkap sebahagiannya retak, dan papan tanda syarikat di hadapan sudah pudar.
“Shift malam
senang sikit. Tak ada orang,” kata penyelia petang tadi.
Rizal cuma
angguk. Dia tak tahu… sunyi itu bukan bermaksud selamat.
Jam 12:40
malam. Rizal duduk di bilik pengawal di tingkat bawah. Sebuah meja kayu lama,
kipas berdecit, dan satu walkie-talkie yang diberikan oleh penyelia.
“Line
telefon tak stabil. Guna ni je,” katanya.
Bunyi statik
halus mengisi ruang…krsssshh…
Rizal
menoleh…“Hello?” katanya perlahan.
Tiada
jawapan.
Dia bangun,
capai lampu suluh, dan mula rondaan pertama. Koridor tingkat satu panjang…
terlalu panjang untuk sebuah bangunan pejabat kecil. Lampu neon berkelip-kelip.
Setiap langkahnya bergema.
Tok… tok…
tok… Dia berhenti seketika. Seperti ada langkah lain… di belakang. Bila dia
berpaling… kosong.
Krsssshhh…. Walkie-talkie
di pinggangnya berbunyi lagi.
Kali ini
jelas. “…kau dah sampai tingkat satu?”
Rizal
terdiam. Suara lelaki. Perlahan. Serak.
“Siapa ni?”
tanya Rizal.
Beberapa
saat sunyi…“…aku pengawal sebelum kau.”
Rizal cuba
ketawa kecil. “Bang… jangan main-main lah.”
Suara itu
tidak ketawa.
“…kau jangan
lama dekat situ. Pergi tingkat tiga. Sekarang.”
Rizal
menelan liur. “Tingkat tiga tutup kan?”
Tiada
jawapan. Hanya bunyi statik.
Jam 1:15
pagi. Rizal berdiri di depan tangga ke tingkat tiga. Pintu besi itu berkarat.
Rantai dan mangga tergantung… tapi terbuka. Seolah-olah baru sahaja dibuka.
“…aku dah
kata. Pergi.” Suara itu muncul lagi. Lebih dekat kali ini. Seperti… dari
belakang telinganya.
Tingkat tiga
gelap sepenuhnya. Lampu tak berfungsi. Hanya cahaya lampu suluh. Debu tebal di
lantai… tapi ada kesan tapak kaki baru. Menuju ke hujung koridor.
Rizal
menyorot lampu ke depan. Di hujung sana…seperti ada sesuatu berdiri. Kaku, tidak
bergerak.
“Siapa tu?!”
Tiada jawapan.
Hanya…krsssshhh…
“…jangan tegur.” Suara dari walkie-talkie.
Tapi kali
ini… suara itu berbisik. “…kalau dia pusing… kau lari.”
Benda di
hujung koridor itu… bergerak sedikit. Perlahan. Seolah-olah… baru sedar ia
diperhatikan.
Rizal terasa
jantungnya berhenti.
“…kau dah
lambat.”
Lampu
suluhnya berkelip. Sekali, dua kali, padam.
Dalam gelap…
Rizal dengar bunyi langkah. Bukan satu tapi banyak. Bergerak di sekelilingnya.
Dia lari. Turun
tangga tanpa berpaling. Terhuyung-hayang sampai ke bilik pengawal. Mengunci
pintu. Tercungap-cungap.
Walkie-talkie
berbunyi lagi. Kali ini… jelas. Tenang. “…kau selamat untuk sekarang.”
Rizal
menggigil. “Siapa kau sebenarnya…?”
Beberapa
saat sunyi. Kemudian… “…aku Rizal.”
Darahnya
terasa beku.
“…pengawal
syif sebelum kau.”
Keesokan
paginya. Penyelia datang. Pintu bilik pengawal terbuka. Kosong. Tiada Rizal.
Di atas
meja…sebuah buku log lama. Penyelia membukanya. Nama pengawal terdahulu disenaraikan.
Tarikh…
bertahun-tahun lepas. Dan di halaman terakhir… tertulis dengan tulisan tangan
baru: “Rizal… Syif malam. Belum keluar.”
krsssshhh… Walkie-talkie
di meja berbunyi sendiri. “…kau dah sampai?”
No comments:
Post a Comment