MUNGKIN BETUL MUNGKIN TIDAK, SEKADAR BACAAN HIBURAN CERITA SERAM...JAUHI DARI PERKARA-PERKARA TAHYUL DAN SYIRIK - [Formerly known as LUBUKPUAKA since 2008]

May 17, 2026

ILMU YANG TIDAK BERTUAN

 


ILMU YANG TIDAK BERTUAN

Spin-off : MAYAT YANG PULANG MENUNTUT ILMU

 

Sebelum nama Pak Saad dikenali sebagai pengamal ilmu hitam paling ditakuti, ada satu rahsia yang dia sendiri tidak pernah ceritakan.... tentang satu ilmu yang bukan diwarisi… tetapi ditemui.

Di sebuah kampung lama yang hampir dilupakan, seorang lelaki muda menemui sesuatu yang ditanam tanpa nama, tanpa pemilik… dan tanpa batas.

Ilmu itu tidak pernah memilih tuan. Tetapi sesiapa yang menyentuhnya… akan dituntut semula.


 

Tahun itu, sebelum orang kampung mula memanggilnya “Pak Saad”… dia hanyalah Saad. Seorang pemuda biasa, yang terlalu ingin tahu.

 

Dan rasa ingin tahu itulah yang membuka sesuatu… yang tidak sepatutnya dibuka. Segalanya bermula dengan kematian seorang bomoh tua di hujung kampung. Rumahnya ditinggalkan kosong. Tak ada waris. Tak ada siapa berani masuk.

 

Orang kampung kata… semua yang ada dalam rumah itu belum selesai. Saad tak percaya.

 

Malam ketiga selepas pengebumian, dia pergi juga. Rumah itu sunyi… tapi bukan kosong. Bila Saad melangkah masuk, lantai papan berbunyi perlahan.

 

Bau kemenyan lama masih kuat… seolah-olah ada yang masih membakar di dalam. Dia jumpa banyak benda pelik—botol berisi rambut, kain kuning bertulis simbol, dan bekas tanah hitam yang masih lembap.

 

Tapi satu benda… yang menarik perhatian dia. Di bawah lantai papan. Saad terdengar bunyi…

 

“ketuk… ketuk…”

 

Bukan dari atas. Dari bawah. Dia buka papan itu perlahan. Di bawahnya… ada sebuah peti kayu kecil. Terkunci. Tapi… berdenyut.

 

Ya…..Berdenyut… macam benda hidup. Dia tak patut buka. Tapi dia tetap buka. Dalam peti itu… bukan buku biasa. Kulitnya bukan kertas. Ia seperti… kulit manusia yang dikeringkan.

 

Dan tulisan di dalamnya… bukan tulisan yang pernah Saad lihat. Tapi anehnya… dia faham.

 

Malam itu, Saad tak bawa pulang apa-apa.

 

Tapi sejak malam itu… ilmu itu sudah ikut dia.

 

Hari pertama…. dia mula bermimpi. Seorang lelaki tanpa wajah duduk di hujung katilnya. Diam. Hanya melihat.

 

Hari kedua…. dia mula dengar suara. “Belajar…”

 

Hari ketiga…..dia bangun dengan simbol terukir di lengannya sendiri. Darah masih basah. Dia tak ingat buat.

 

Saad kembali ke rumah bomoh tua itu. Peti itu… sudah terbuka. Buku itu… sudah tidak ada. Di dinding rumah, ada tulisan baru. Dengan darah.

 

“AKU TIADA TUAN”

 

Sejak itu, Saad mula berubah. Dia tahu perkara yang tak pernah dia belajar. Dia boleh membaca ayat yang tak pernah dia lihat.

 

Dia mula mencuba. Dan setiap kali dia mencuba… sesuatu berjaya.

 

Orang kampung mula datang. Minta tolong. Minta ubat. Minta balas. Dan Saad… tidak pernah menolak.

 

Kerana setiap kali dia gunakan ilmu itu… dia rasa lebih kuat. Sehingga malam pertama… dia cuba sesuatu yang lebih besar.

 

Menghidupkan semula sesuatu yang sudah mati. Mayat itu bergerak.

Tapi bukan hidup. Ia bangun… perlahan… dan memandang Saad. Dan untuk pertama kali… Saad rasa takut.

 

Mayat itu bersuara. Bukan dengan mulut….Tapi dalam kepala Saad.

 

“Ini bukan milik kau…”

 

Sejak malam itu… setiap kali Saad menggunakan ilmu itu, akan ada sesuatu yang datang menuntut. Bukan roh biasa. Bukan jin. Sesuatu yang lebih lama… lebih kosong… dan tidak pernah ada nama.

 

Saad cuba berhenti. Dia bakar semua yang dia ada. Dia tutup rumah itu. Dia tanam semula peti itu jauh ke dalam tanah.

 

Tapi setiap malam… bunyi itu kembali.

 

“ketuk… ketuk…”

 

Dari bawah lantai rumahnya sendiri. Dan satu malam… dia akhirnya faham.

 

Ilmu itu tidak pernah berpindah. Ia tidak pernah disimpan dalam peti. Ia tidak pernah berada dalam buku. Ia memilih tempat… dalam diri manusia.

 

Dan bila ia sudah memilih… tiada siapa lagi yang boleh membuangnya.

 

Tahun-tahun berlalu. Saad menjadi Pak Saad. Orang datang… dan pergi. Ilmu itu berkembang.

 

Tapi jauh di dalam dirinya… dia tahu satu perkara. Suatu hari nanti… akan ada sesuatu yang datang semula. Bukan untuk belajar.

 

Tetapi untuk menuntut kembali semua yang pernah dia ambil.


No comments: