MUNGKIN BETUL MUNGKIN TIDAK, SEKADAR BACAAN HIBURAN CERITA SERAM...JAUHI DARI PERKARA-PERKARA TAHYUL DAN SYIRIK - [Formerly known as LUBUKPUAKA since 2008]

Apr 15, 2026

WANITA MISTERI TUNGGU TEKSI TENGAH MALAM

 


WANITA  MISTERI  TUNGGU  TEKSI  TENGAH MALAM

-Penantian di Bukit Bauk… Wanita misteri tunggu teksi di tengah malam-



“KALAU orang lalu jalan baru… dia tak nampak. Tapi kalau yang pernah tahu jalan lama… dia akan faham kenapa orang kampung masih ingat tempat tu,” cerita wanita berumur 40-an yang dikenali sebagai Kak Mah.

Di Bukit Bauk, Dungun, kisah tentang jalan lama memang tidak pernah habis. Namun bagi Kak Mah, ada satu cerita yang lebih kuat daripada yang lain.

Kisah seorang wanita yang dikatakan masih setia menunggu hingga hari ini.


Kak Mah membawa penulis ke satu kawasan sunyi di tepi jalan lama. Tiada bangunan, tiada tanda. Hanya tanah kosong yang ditumbuhi semak.

“Dulu… sini ada hentian bas,” katanya sambil menunjuk ke satu sudut.

Hentian itu sudah lama dirobohkan. Namun dalam ingatan orang kampung, tempat itu masih hidup seperti dahulu.
Dan di situlah… kisah ini bermula.

Wanita cantik tunggu teksi tengah malam

Kak Mah menunjukkan lokasi hentian bas lama, yang dikatakan menjadi tempat menunggu wanita berpakaian putih bersama anaknya di tengah malam.


Menurut cerita yang sering didengar, pada waktu tengah malam, akan kelihatan seorang wanita cantik berpakaian putih, berambut panjang, di tapak hentian bas itu.

Tidak keseorangan. Di sisinya, seorang anak kecil.

“Ada yang cerita, pada lewat malam, hentian bas lama itu seolah-olah wujud. Mereka duduk diam saja, macam tunggu sesuatu,” kata Kak Mah.

Wanita itu tidak melambai. Tidak menjerit meminta bantuan. Hanya duduk, seolah-olah sudah lama menunggu.

“Macam tunggu teksi… atau seseorang yang tak kunjung sampai.

“Ada pemandu yang mendakwa wanita itu pernah menahan kenderaan.
Mereka berhenti, menyangka itu manusia biasa.

“Dia minta tumpang. Sepanjang perjalanan, suasana dalam kereta menjadi sunyi. Wanita itu tidak bercakap. Anak kecil di sebelahnya juga hanya diam.”

Tiada suara. Tiada pergerakan.

Kemudian, wanita itu meminta berhenti di satu kawasan tertentu.

“Kawasan rumah besar. Namun apa yang pelik, apabila pemandu kembali ke tempat itu pada siang hari… tiada rumah.
Hanya hutan. Kosong. Sepi.”

Wanita itu ditinggal suami, dibunuh

Di sinilah terletaknya hentian bas lama yang kini telah dirobohkan. Siapa wanita itu, tiada siapa yang pasti.

Ada yang mengatakan dia ditinggalkan suami, menunggu tanpa henti di hentian bas itu sehingga akhir hayatnya.

Ada pula yang percaya dia mati dibunuh oleh suaminya sendiri.

“Cerita dia berbeza… tapi orang nampak benda yang sama. Seorang wanita…
bersama seorang anak, menunggu di tempat yang sudah tiada.

Jalan lama yang masih ‘hidup’

Walaupun fokus cerita itu pada wanita tersebut, Kak Mah tidak menafikan bahawa keseluruhan kawasan jalan lama Bukit Bauk sendiri menyimpan ‘sesuatu’ yang berbeza.

“Jalan baru dengan jalan lama dekat saja… tapi rasa dia lain.

“Ada yang mendakwa terlihat bayang di jalan lama ketika melalui jalan baru. Ada juga yang terdengar bunyi pelik dari arah hutan.

“Apa yang selalu diceritakan oleh penduduk kampung ialah satu perkara,
Wanita itu tidak pernah mengganggu.

“Dia tak kacau orang. Dia hanya muncul pada waktu tertentu. Duduk. Menunggu.
Seolah-olah masih berharap, sesuatu atau seseorang akan datang.

Lokasi hentian bas lama ini terletak di tepi jalan lama Bukit Bauk, Dungun, Terengganu.Sebelum meninggalkan kawasan itu, Kak Mah memandang semula ke arah tapak hentian bas lama.

“Apabila lalu Bukit Bauk waktu malam, kalau ternampak orang berdiri di tepi jalan, jangan terlalu pasti siapa yang kita nampak.”

Kerana di satu sudut sunyi di Bukit Bauk…
masih ada yang setia menunggu.

Dan mungkin itu sebuah penantian yang tidak pernah berakhir sampai bila-bila.


No comments: