MAYAT YANG PULANG MENUNTUT ILMU : (EP II) – TUJUH JARUM YANG BELUM
SELESAI
Yang
Tinggal Selepas Mati
Pagi itu,
kampung masih seperti biasa. Ayam berkokok.
Asap dapur
naik perlahan dari rumah-rumah kayu.
Tapi satu
rumah… sunyi. Rumah Rashid.
Orang kampung
mula berkumpul di depan rumahnya.
“Pintu
terbuka dari malam tadi,” kata seorang lelaki.
Seorang lagi
menjenguk ke dalam. Dan terus undur.
“Dalam tu… bau tanah…”
Haji Samad
sampai tidak lama kemudian. Dia bukan ketua kampung. Bukan juga ustaz. Tapi
kalau ada benda pelik… orang akan cari dia.
Dia
melangkah masuk. Setiap tapak kaki… meninggalkan kesan pada lantai yang sedikit
lembap. Seolah-olah rumah itu baru digali dari tanah.
Bilik
Rashid.
Pintu
terbuka luas. Dan di tengah lantai— tanah. Banyak. Seperti seseorang telah
menabur tanah kubur ke seluruh bilik.
Haji Samad
mencangkung. Tangannya menyentuh tanah itu. Basah. Sejuk. Dan…
“Ini bukan
tanah sini…” bisiknya.
Di sudut
bilik… dia nampak sesuatu. Uncang hitam. Terbuka. Kosong.
Haji Samad pejam
mata seketika.
“Rashid… apa
yang kau buat ni…”
Cerita
Lama Yang Dibuka Semula
Petang itu,
Haji Samad duduk di beranda rumahnya. Depannya… seorang wanita tua…. Mak Jah.
“Pak Saad…”
Haji Samad mula perlahan,
“…dia ada
buat apa-apa sebelum dia mati dulu?”
Mak Jah diam
lama. Seolah-olah cuba pilih… antara bercakap… atau terus diam selamanya.
Akhirnya…
“Ada…”
suaranya serak.
“Orang dulu…
takut dengan dia. Tapi bukan sebab dia jahat.”
“Dia simpan
sesuatu.”
Haji Samad
angguk perlahan.
“Ilmu?”
Mak Jah
pandang tepat ke matanya.
“Bukan ilmu
biasa…”
Dia menarik
nafas panjang.
“Kau ingat
lagi… kes orang mati kena cucuk-cucuk dulu?”
Haji Samad
terus kaku. Dia ingat. Sangat jelas. Tujuh orang. Semua mati pelik. Tiada luka
besar.
Cuma… lubang
halus pada badan. Macam dicucuk sesuatu dari dalam.
“Orang
kampung kata santau,” sambung Mak Jah.
“Tapi Pak
Saad… dia kata bukan.”
“Dia cakap…”
Mak Jah menelan liur.
“…itu ilmu
yang cari tuan.”
Yang
Tidak Lengkap
Malam itu,
Haji Samad pergi ke kubur. Seorang diri. Kubur Pak Saad… sudah ditimbus semula.
Tapi
tanahnya tak rata. Seolah-olah… ada sesuatu di bawah yang masih bergerak. Dia
berdiri di situ lama.
Angin malam
mula bertiup. Dan buat pertama kali… bunyi, dari bawah tanah. Perlahan. …ketuk…
ketuk… Haji Samad undur setapak.
“Ini tak
betul…”
Keesokan
harinya, dia mula mencari.
Satu demi
satu kubur lama yang berkait dengan kes dulu.
Kubur
pertama….ada.
Kubur kedua…
ada.
Kubur
ketiga… ada.
Sampai kubur
keenam. Masih ada. Tapi bila dia kira semula… Enam.
Dia
berhenti.
“Seorang
lagi…”
Dia pusing
seluruh kawasan. Semak. Hujung pagar lama. Belakang pokok sena yang besar.
Dan di
situlah… dia jumpa sesuatu.
Kubur
Tanpa Nama
Ia bukan
kubur biasa. Tiada batu nisan. Tiada tanda. Hanya tanah yang sedikit tinggi…
dan warna yang lebih gelap.
Haji Samad
berdiri di situ. Jantungnya berdegup perlahan. Dia tunduk.
Letak tangan
di atas tanah itu…sejuk…basah, dan…. bergerak.
Dia tarik
tangan serta-merta. Nafasnya tersekat. Kemudian… dari bawah tanah itu… datang
satu bunyi. Bukan ketukan. Bukan suara.
Tapi sesuatu
yang cuba keluar.
krkk… krkk…
Seolah-olah
kuku… menggaru dari dalam.
Haji Samad
undur beberapa langkah. Matanya tak lepas dari tanah itu. Dan tiba-tiba…. permukaan
tanah itu sedikit timbul. Seperti dada seseorang… yang sedang bernafas.
Yang
Masih Hidup
Malam itu,
Haji Samad tak boleh tidur. Setiap kali dia pejam mata… dia nampak tanah itu..bergerak,
bernafas.
Tepat jam
3:17 pagi… bunyi di luar rumahnya.
Tok… tok…
tok…
Dia tak
bangun. Dia hanya diam di atas katil. Ketukan berhenti. Kemudian… suara, dari
luar tingkap. Perlahan. Serak.
“…cukup
enam…”
Haji Samad
buka mata perlahan.
“…yang
ketujuh… belum…”
Tingkapnya
bergetar sedikit.
“…kau tahu…
siapa…”
Dan sebelum
segalanya sunyi kembali…
“…ganti…”
Subuh itu,
Haji Samad pergi semula ke kubur tanpa nama itu. Dengan satu tekad.
Kalau benda
itu… belum mati sepenuhnya… Maka.. ia boleh keluar. Dan kalau ia keluar…
Rashid…
bukan satu-satunya yang akan berubah, dan di antara semua kubur yang diam… satu
daripadanya… berombak perlahan.
Seperti
sesuatu di dalam… sedang menunggu masa untuk bangun.
No comments:
Post a Comment