SUARA
MENGILAI IRINGI KENDERAAN BAWA MAYAT BERDARAH
Saya pernah bekerja sebagai pemandu van jenazah di Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan. Ada satu kisah, ketika itu saya diminta untuk membawa jenazah ke Kampung Balun di Slim River, Perak. Saya difahamkan, lelaki berusia 40-an itu meninggal dunia di Labu, Negeri Sembilan akibat serangan jantung setelah mengalami sesak nafas. Kejadian mengejutkan itu berlaku ketika lelaki berkenaan hendak berhari raya di rumah adik beradiknya.
Kebetulan
kejadian itu berlaku pada petang hari raya Aidilfitri pertama, kira-kira pukul
4.00 petang. Semua bercuti dan sibuk beraya, termasuklah saya. Tapi kerja tetap
kerja, itu amanah yang perlu dipikul, sekalipun ketika cuti dan hari raya.
Apabila
diminta menjalankan tugasan tersebut, saya segera laksanakan. Tapi disebabkan
ketika itu hari raya, tiada sesiapa yang dapat saya ajak sebagai pembantu.
Maklumlah, semua orang sedang bercuti.
Selepas
Asar, kira-kira pukul 4.30 petang, tanpa ditemani pembantu, saya bertolak dari
Seremban menuju ke Kampung Balun membawa jenazah lelaki berkenaan. Menjelang
Maghrib, saya sampai dengan selamatnya ke kampung berkenaan. Orang kampung
sudah memenuhi perkarangan rumah arwah. Merekalah yang mengangkat dan mengusung
jenazah masuk ke rumah.
Selepas
sembahyang Maghrib dan minum, saya meminta diri untuk pulang ke Seremban. Saya
memandu sendirian keluar dari Kampung Balon. Malam gelap pekat, hanya lampu van
yang menyuluh terang di hadapan.
Semasa
van menuju ke jalan besar, tiba-tiba pandangan mata saya terhalang oleh
sesuatu. Melalui cahaya lampu van saya seperti melihat ada sehelai kain putih
terawang-awang di tengah jalan. Besarnya kira-kira cukup untuk menyelimuti diri
kita dan melayang-layang di udara.
Eh, apa
benda ni? Bisik hati saya agak gementar. Segera saya baca ayat-ayat suci
al-Quran yang terlintas di ingatan. Harap-harap janganlah ganggu perjalanan
aku, doa saya dalam hati.
Saya
memperlahankan van dan kemudian menghentikannya di tepi jalan. Dalam hati saya
berharap agar janganlah benda itu mengganggu perjalanan saya seterusnya.
“Jangan
kacau..!” kata saya memberi amaran kepada makhluk berkenaan.
Jarak
antara saya dengan makhluk berkenaan kira-kira 10 meter saja dan saya dapat
melihatnya dengan jelas. Setelah muncul kira-kira 30 saat, kain putih itu
hilang begitu saja.
Sejurus
benda itu ghaib, serta-merta saya teringatkan jenazah yang saya bawa tadi. Ya
Allah, jika gangguan ini datangnya daripada jenazah tadi, hamba-Mu memohon
dijauhi dari segala macam musibah dan kejadian yang menakutkan.
Van
memang kosong setelah jenazah tadi diturunkan di Kampung Balon. Yang ada
hanyalah keranda saja. Jadi lembaga apakah yang menghalang perjalanan saya
tadi? Belum pernah seumur hidup saya mengalami gangguan seperti ini.
Setelah
tiada apa-apa berlaku saya meneruskan perjalanan memasuki lebuh raya. Namun
ingatan terhadap kain putih yang melayang dan terawang-awang tadi masih
bermain-main di fikiran. Memang pernah saya dengar cerita orang ternampak
kelibat seperti ini, namun tidak sangka pula saya juga akan melaluinya
Saya
sangkakan gangguan itu sudah berakhir, rupa-rupanya tidak. Semasa sedang
berfikir-fikir tentang apa yang berlaku itu, tiba-tiba saya dikejutkan dengna
suatu bunyi yang cukup kuat dari arah belakang kenderaan.
BAAAMMM!
Secepat
kilat saya mengerling ke arah cermin pandang belakang. Ya-Allah… dari cermin
itu saya dapat melihat pintu van terbuka dengan sendiri. Cepat-cepat saya
pasang signal kecemasan dan menghentikan van di lorong paling kiri. Ketika itu
hujan renyai-renyai sedang turun, kereta hanya sekali sekala melalui jalan
berkenaan.
Saya
termenung. Siapa pula yang membukanya? Saya pasti selepas menurunkan jenazah
tadi, saya telah menutup pintu belakang van dengan kuat. Tak mungkin ia boleh
terbuka sendiri. Bulu roma saya berdiri tegak. Entah mengapa kali ini saya
benar-benar merasa seram sejuk.
Sudah
dua kali saya diuji. Tadi diuji dengan lembaga berjurai dan kali ini bonet
belakang pula terbuka dengan sendiri. Adakah kedua-dua ujian ini ada kaitan
dengan jenazah yang saya bawa tadi? Entahlah saya tidak mahu kaitkan dengan
misteri ini. Saya turun dan pergi ke belakang.
“Pandai
pula buka bonet van ni…” bisik saya sendirian sambil kemudian menutup pintu itu
dengan kuat.
Saya
masuk semula ke dalam van dan terus memecut laju. Kira-kira pukul 11.00 lebih
saya tiba di Seremban. Sampai di rumah saya berehat sebentar di luar selama
setengah jam. Mengikut petua orang tua, kalau ada benda-benda yang mengikut,
makhluk berkenaan akan berpisah di luar rumah. Kalau tidak ia akan mengikut
masuk dan mengacau ahli keluarga, anak-anak serta isteri kita.
Setelah
yakin tiada apa-apa lagi, barulah saya masuk ke rumah dan merendam baju serta
seluar ke dalam besen. Seterusnya saya mandi dan berlangir, bimbang terkena
badi orang mati.
Kata
orang, jika seseorang terkena badi, mereka akan merana, kurus kering dan muka
pucat bagaikan mayat. Itulah yang menyebabkan saya berasa perlu bersiap sedia
menghadapi segala kemungkinan. Namun, saya berdoa semoga tiada kejadian yang
tidak diingini berlaku.
KEJADIAN ini pula antara peristiwa
paling menyeramkan pernah saya alami sepanjang kerjaya saya sebagai pemandu van
jenazah. Ujian paling dahsyat adalah yang saya alami sewaktu bersama seorang
rakan saya bernama Kassim.
Kassim
bekerja sebagai peronda di lebuh raya. Apabila ada kemalangan berlaku,
beliaulah yang ditugaskan untuk mengangkat mayat-mayat berkenaan. Suatu hari,
berlaku kemalangan maut melibatkan seorang perempuan bukan Melayu.
Kepalanya
terputus. Badannya berkecai. Si Kassim inilah ditugaskan mengutip cebisan mayat
ini dan memasukkan ke dalam beg plastik untuk dihantar ke bilik mayat di
hospital.
Pada
hari kejadian kebetulan saya ikut bersama-samanya membawa mayat berkenaan.
Semasa dalam perjalanan menuju ke hospital, tiba-tiba terdengar bunyi semacam
letupan di bonet kereta Opel Kadet yang dipandunya.
“Bunyi
apa tu?” bisik saya pada Kassim.
“Syhh!”
Kassim meminta saya jangan berkata apa-apa.
Seiring
bunyi letupan itu, kami terdengar pula bunyi sesuatu mengilai-ilai di belakang
kereta kami.
“Hihiiiii…
Hiiiiiiiiiiiiiii… haaaaaaaaaaaaaaha…”
Walaupun
saya tidak bertanya, tetapi saya dapat mengagak bunyi tersebut seakan langsuir.
Bila saya tanya Kassim bunyi apa tu, Kassim selamba memberitahu itulah suara
puntianak mengilai-ilai.
Hairannya,
saya lihat Kassim tidak merasa takut sedikit pun walaupun sepanjang perjalanan
membawa mayat berdarah itu ada seekor langsuir mengekori kereta kami. Saya yang
pertama kali bertembung dengan puntianak memang merasa seram. Peliknya Kassim
macam tiada apa-apa.
“Aku
dah biasa jumpa benda-benda macam ni,” jawab Kassim apabila saya luahkan rasa
pelik saya melihat reaksinya yang langsung tidak menunjukkan rasa takut.
Rakan
saya itu menceritakan, bukan sekali dua dia pernah bertembung dengan puntianak.
Sejak bekerja di lebuh raya berkenaan, sudah banyak kali Kassim diikuti
puntianak yang mengilai-ilai ketika dia membawa mayat berdarah ke bilik mayat
hospital.
Pernah
saya mengikut Karim bertemu dengan seorang bomoh yang mendakwa boleh
mengeluarkan harta karun. Mengikut syarat bomoh berkenaan beliau hanya mahukan
kepala orang yang sudah mati. Kepala itu nanti akan dipuja dengan jampi mantera
dan ia sangat berkesan untuk mengeluarkan harta karun dari perut bumi dan alam
ghaib.
Suatu
hari Kassim dalam perjalanan ke hospital membawa kepala mayat. Sampai di
pertengahan jalan beliau memberitahu hendak bertemu dengan bomoh berkenaan.
Sebaik sampai, bomoh itu bertanya: “Ada kepala mayat orang mati?”.
“Ada
tok!” kata Kassim lantas membuka karung plastik hitam yang dijinjingnya.
Bomoh
itu menunggu Kassim menyeluk plastik berkenaan. Sebaik ditunjukkan kepala mayat
berkenaan, bomoh itu terus jatuh pengsan. Kassim ketawa. Dulu beria-ia benar
bomoh berkenaan hendakkan kepala mayat. Tapi bila dibawa ke hadapannya, pengsan
pula. Ingatkan berani, rupa-rupaya penakut. Nampak sangat temberang bomoh
berkenaan.
Sejak
itu tidak terdengar lagi kisah bomoh yang boleh mengambil harta karun itu.
Mungkin bomoh berkenaan tidak pernah melihat kepala orang yang dah mati. Apa
lagi kepala yang sudah bercerai dengan badan akibat kemalangan. Mungkin juga si
bomoh berasa malu apabila Kassim sudah tahu temberangnya itu.
Memang
benar, keadaan mayat yang mati akibat kemalangan sangat mengerikan. Kalau
sesiapa yang tidak tahan semangat, boleh pengsan seperti berlaku kepada bomoh
tersebut.
Kini
Kassim tidak lagi berasa takut apabila diarahkan membawa jenazah sedemikian.
Walaupun ngeri macam mana sekalipun mayat itu, dia menganggap mayat itu sama
seperti manusia. Ia perlu dihormati dan bukan untuk dipuja-puja seperti pernah
dihajati bomoh berkenaan.
Begitu
juga dengan puntianak. Kassim menganggap makhluk hodoh itu adalah makhluk
ciptaan Tuhan yang tidak perlu ditakuti kerana manusia lebih istimewa
berbandingnya.
Saya
bukanlah berani seperti Kassim. Saya pun tidak mahu bercakap besar sebab bagi
saya, hal mayat tidak boleh dibuat main-main. Kalau ilmu cetek, jangan buat
fasal, macam-macam perkara boleh berlaku kepada kita.
Jika
kita lemah semangat pula ada bermacam-macam ujian dan gangguan yang menanti.
Mungkin kita mudah dirasuk atau terkena badi mayat dan akhirnya merana.
Seperti kata Nash dalam lagunya: “Tuhan sengaja menguji kita…”.
Pesan
saya: “Jangan main-main dengan mayat.”. Sentiasa berhati-hati ketika memandu
kerana mungkin…. ada makhluk lain yang mengekori anda!
– Pencerita
: Yahya Yusof
No comments:
Post a Comment