MUNGKIN BETUL MUNGKIN TIDAK, SEKADAR BACAAN HIBURAN CERITA SERAM...JAUHI DARI PERKARA-PERKARA TAHYUL DAN SYIRIK - [Formerly known as LUBUKPUAKA since 2008]

Jul 17, 2026

ADA YANG MENANTI DI HENTIAN LAMA

 


ADA YANG MENANTI DI HENTIAN LAMA

 


Sekumpulan tiga sahabat … Faiz, Hakim, dan Liyana… pulang lewat malam selepas menghadiri majlis pertunangan di sebuah kampung pedalaman. Disebabkan jalan utama ditutup akibat tanah runtuh, mereka terpaksa menggunakan satu jalan lama yang sudah jarang digunakan orang.

Jalan itu sunyi… terlalu sunyi. Tiada lampu jalan. Tiada line telefon. Dan tiada satu pun kenderaan lain sejak hampir sejam perjalanan. Ketika hujan mula turun renyai-renyai, mereka ternampak sebuah hentian bas lama di tepi selekoh. Di situ berdiri seorang perempuan tua berbaju putih lusuh sambil memegang payung hitam.

Dia tidak bergerak. Tidak melambai. Hanya berdiri memandang tepat ke arah kereta mereka.
Hakim yang memandu cuba memperlahankan kereta, tetapi Faiz segera melarang.


“Jangan berhenti dekat sini.”

Namun ketika mereka melepasi hentian itu… perempuan tua tadi tiba-tiba sudah berdiri di belakang penghadang jalan beberapa meter di hadapan mereka.

Seolah-olah… dia tidak pernah berjalan. Dan sejak saat itu, perjalanan mereka tidak lagi keluar dari jalan lama tersebut.


 Hujan malam mengetuk cermin kereta perlahan-lahan. Wiper bergerak berulang kali, tetapi pandangan masih kabur dek kabus yang semakin tebal. Hakim menggenggam stereng sambil menjeling skrin telefon.


“No signal lagi…”


Faiz di sebelah hanya diam sejak tadi. Mukanya pucat memandang jalan gelap di hadapan.
Liyana di belakang cuba ketawa kecil.


“Seriuslah korang… ni cuma jalan kampung.”


Faiz perlahan menoleh.


“Kau tak pernah lalu sini malam-malam.”


Nada suaranya cukup untuk membuat Liyana diam semula. Mereka sebenarnya tidak merancang menggunakan jalan lama itu. Penduduk kampung tadi memberi amaran supaya tunggu pagi kerana jalan tersebut sudah lama ditinggalkan selepas terlalu banyak kemalangan.
Tetapi Hakim degil.


“Aku malas patah balik jauh.”


Kini… dia sendiri mula menyesal. Pokok-pokok besar di kiri kanan jalan seperti menutup langit. Lampu kereta hanya mampu menerangi beberapa meter di depan sebelum ditelan hitam malam.


Kemudian… Hakim perlahan menekan brek.


“Apa tu…”


Di hadapan mereka berdiri sebuah hentian bas lama. Bumbungnya karat. Dinding simennya dipenuhi lumut hitam. Dan di situ… Ada seorang perempuan tua berdiri di bawah hujan. Baju putih lusuhnya basah. Kepalanya tunduk sedikit. Wajahnya tidak jelas kerana dilindungi payung hitam.


Liyana perlahan bersuara.


“Kesian pula…”


Faiz terus mencengkam dashboard.


“Jangan berhenti.”


Hakim menjeling.


“Hoi, dia manusia lah.”


“JANGAN BERHENTI.”


Nada Faiz kali ini hampir menjerit. Hakim akhirnya hanya memperlahankan kereta tanpa berhenti. Mereka melewati hentian itu perlahan-lahan. Saat kereta melintasinya… Perempuan tua itu mengangkat kepala sedikit. Faiz terus memalingkan wajah. Tetapi Liyana sempat melihat. Mata perempuan itu terlalu hitam. Bukan anak mata. Seluruh matanya hitam gelap seperti lubang kosong.


“Ya Allah…”
Liyana terus menutup mulut. Hakim menekan minyak. Kereta bergerak laju meninggalkan hentian tersebut. Sunyi. Hanya bunyi hujan dan enjin.


Kemudian… Faiz perlahan bersuara.


“Jangan pandang cermin belakang.”


Liyana membeku.


“Apa?”


“Jangan pandang.”


Tetapi sudah terlambat. Liyana perlahan mengangkat mata ke cermin tengah. Dan darahnya terasa berhenti. Perempuan tua tadi… Sedang duduk di seat belakang paling hujung. Diam. Basah. Dengan wajah hitam kosong memandang tepat ke arahnya.
Liyana menjerit kuat.


Hakim terkejut lalu memusing stereng secara kasar. Kereta hampir terbabas sebelum berhenti mengejut di tepi jalan.


“Nak mampus ke?!”


Liyana menangis sambil menunjuk belakang.


“BELAKANG! BELAKANG!”


Hakim berpaling…. Kosong. Tiada sesiapa. Faiz pula sudah membaca ayat kursi terketar-ketar.


“Kenapa kau tengok cermin…”


Suasana dalam kereta menjadi semakin dingin. Nafas mereka jelas kelihatan seperti wap.
Kemudian radio kereta berbunyi sendiri. Krrrrttt… Suara perempuan tua kedengaran perlahan.


“…tolong… tunggu saya…”


Hakim terus mematikan radio. Tetapi suara itu masih ada.


“…saya dah lama tunggu…”


Kini suara itu datang dari luar kereta. Ketukan perlahan mula kedengaran pada tingkap belakang. Tok… tok… tok…


Liyana menangis teresak-esak. Hakim perlahan menoleh ke sisi tingkap. Dan jantungnya hampir berhenti. Perempuan tua itu sedang berdiri betul-betul di luar tingkap. Mukanya kini jelas. Kulitnya merekah seperti mayat lama direndam air. Matanya hitam kosong. Dan mulutnya terlalu lebar ketika tersenyum.


Hakim terus menekan pedal minyak. Kereta memecut laju meninggalkan kawasan itu. Mereka tidak bercakap lagi selepas itu. Hanya bunyi tangisan Liyana dan hujan yang semakin lebat.


Sepuluh minit, Dua puluh minit. Tetapi jalan itu masih sama. Masih gelap. Masih tiada penghujung.


Kemudian… Mereka ternampak sesuatu di hadapan. Hakim perlahan memperlahankan kereta.
Faiz menutup mata.

 

“Tidak…”


Hentian bas yang sama. Mereka kembali ke tempat itu semula. Dan kali ini… hentian itu penuh dengan manusia. Puluhan orang berdiri diam di bawah hujan. Semuanya berpakaian lusuh. Semuanya memandang ke arah kereta mereka. Tidak bergerak. Tidak berkedip.


Dan di tengah-tengah mereka… Perempuan tua itu berdiri sambil tersenyum luas. Hakim panik.


“Aku dah lalu jalan ni tadi!”


Faiz bersuara perlahan dengan wajah pucat.


“Orang kampung pernah cerita…”


“Apa dia?!”


“Hentian ni tempat bas terjun gaung dua puluh tahun lepas.”


Liyana menangis.


“…semua penumpang mati.”


Hujan semakin kuat. Kemudian semua kepala di hentian itu perlahan-lahan menunduk serentak. Seperti memberi laluan kepada sesuatu.


Dari belakang hentian… Muncul sebuah bas lama. Lampunya malap kekuningan. Badan bas penuh lumpur hitam. Dan di cermin depan… Tiada pemandu.


Bas itu berhenti perlahan di tengah jalan. Pintu depannya terbuka sendiri. Kreeeeekkk…Gelap. Kosong. Tetapi satu suara perlahan kedengaran dari dalam.


“Naik…”


Hakim menggigil. Faiz membaca ayat suci tanpa henti. Dan perempuan tua itu perlahan menunjuk ke arah pintu bas.


“…kami dah lama tunggu…”


Tiba-tiba enjin kereta mati sendiri. Lampu padam. Gelap terus menyelubungi mereka. Dalam kegelapan itu… Mereka mula mendengar bunyi tapak kaki mengelilingi kereta. Tok… tok… tok… Seolah-olah puluhan orang sedang berjalan perlahan di luar.


Kemudian sesuatu mengetuk cermin depan. Hakim perlahan mengangkat kepala. Dan terus menjerit. Seluruh cermin depan dipenuhi wajah-wajah pucat penumpang bas tersebut. Melekat sambil tersenyum. Mata mereka hitam sepenuhnya.


Dan di tengah-tengah semua wajah itu… Perempuan tua tadi berbisik perlahan:


“Sekarang… giliran kamu pula.”



Keesokan paginya, penduduk kampung menemui kereta mereka kosong di tepi gaung berhampiran jalan lama tersebut. Enjin masih hidup. Pintu terkunci dari dalam.


Tetapi ketiga-tiga mereka hilang tanpa jejak. Satu-satunya benda yang ditemui… Ialah tiga tiket bas lama yang masih basah.


Dengan tarikh tertera: 17 Oktober 2004… tarikh kemalangan bas maut di jalan itu.


Dan sejak malam tersebut… Penduduk kampung mendakwa kadang-kadang mereka terlihat sebuah bas lama berhenti di hentian usang itu ketika hujan lebat.


Dengan tiga penumpang baru duduk diam di bahagian belakang. Masih basah. Masih menunggu.


No comments: