SEAT KETIGA
Satu tempahan terakhir masuk.
Pickup: Hentian Bas Lama Jalan Bukit Tembaga.
Hafiz mengeluh kecil. Kawasan itu memang jarang orang mahu ambil. Sunyi. Dan
terlalu dekat dengan jalan lama yang pernah berlaku kemalangan maut beberapa
tahun dulu.
Namun kerana mahu cukup duit sewa kereta, Hafiz terima juga. Ketika
sampai..hentian bas itu kosong. Lampu atasnya rosak separuh. Hanya bunyi
cengkerik dan hujan halus memenuhi malam.
Kemudian dia nampak seorang perempuan berdiri di hujung pondok. Baju putih
panjang. Kepala tunduk. Tidak bergerak. Hafiz tekan sedikit hon.
Perempuan itu berjalan perlahan menuju kereta. Pintu belakang dibuka. Dan secara
automatik, suhu dalam kereta terasa jatuh mendadak.
“Akak… nak pergi mana?”
Tiada jawapan…Hanya bunyi titisan air hujan dari rambutnya.
Telefon Hafiz berbunyi.
Destinasi muncul: Jalan Lama Sungai Merah.
Jantung Hafiz berdegup perlahan. Jalan itu sudah lama jarang digunakan. Ramai
pemandu lori kata kawasan situ keras. Namun dia terus memandu. Sepanjang
perjalanan…perempuan itu langsung tidak bergerak.
Tidak bermain telefon. Tidak bercakap. Tidak batuk. Tidak bernafas kuat. Seolah-olah
hanya duduk diam memandang depan. Hafiz cuba melihat melalui cermin belakang.
Tetapi setiap kali dia cuba focus…muka perempuan itu sentiasa kabur. Macam bayang
hitam bergerak perlahan. Kemudian radio kereta tiba-tiba berbunyi sendiri.
Suara gangguan kasar memenuhi ruang. Dan celah-celah bunyi statik itu….kedengaran
suara perempuan berbisik perlahan.
“Jangan pandang cermin…”
Hafiz terus menutup radio. Tangannya mula berpeluh. Kereta memasuki Jalan Lama
Sungai Merah. Pokok-pokok besar menutup hampir seluruh jalan. Kabut nipis mula
turun. Kemudian perempuan itu akhirnya bersuara.
“Berhenti depan tu…”
Suaranya terlalu perlahan. Seperti datang dari jauh. Hafiz memberhentikan kereta
dekat simpang kecil hutan. Perempuan itu membuka pintu perlahan. Sebelum
keluar…dia berhenti seketika. Dan untuk pertama kali…kepalanya terangkat
sedikit.
Hafiz hanya nampak bibir pucat tersenyum terlalu lebar melalui pantulan cermin.
Kemudian perempuan itu turun dan berjalan masuk ke hutan gelap. Hilang perlahan
dalam kabut.
Hafiz terus menekan minyak. Dia mahu cepat keluar dari jalan itu. Tetapi
beberapa minit kemudian…dia perasan sesuatu pelik.
Cermin belakang masih nampak seperti ada orang duduk di seat tengah belakang.
Lekuk kusyen itu jelas menekan ke bawah. Macam ada berat manusia di situ. Hafiz
cuba tenangkan diri.
“Mungkin kusyen lama…”
Kemudian perlahan-lahan…sesuatu muncul dalam pantulan cermin. Helai rambut
hitam panjang. Sedikit demi sedikit. Turun dari atas. Seolah-olah ada kepala sedang
menunduk di seat belakang. Hafiz membeku. Nafasnya pendek. Dia tidak berani
berpaling.
Tetapi dalam cermin…rambut itu makin banyak. Dan akhirnya… sepasang mata putih
muncul di celah rambut hitam basah. Memandang tepat ke arahnya.
Hafiz menjerit. Stereng hampir terbabas. Radio hidup sendiri semula. Kali ini
suara perempuan itu jelas.
“Aku belum turun lagi…”
TIBA-TIBA…sesuatu mencengkam bahu Hafiz dari belakang. Tangannya sejuk
melampau. Berbau tanah busuk. Hafiz menekan brek mengejut.
KERETA TERHENTI TENGAH JALAN.
Dalam nafas tercungap-cungap…dia perlahan-lahan menoleh ke belakang. Seat
belakang kosong. Tiada sesiapa. Hanya kesan air hitam memenuhi kusyen tengah.
Kemudian telefon Hafiz berbunyi. Notifikasi aplikasi masuk sendiri.
Trip Completed.
Penumpang: Nuraini (DECEASED)
Hafiz terus keluar dari kereta dalam hujan. Tetapi ketika dia berdiri di tepi
jalan..dia ternampak sesuatu melalui tingkap belakang. Perempuan itu kini duduk
diam di seat ketiga. Mukanya terlalu pucat. Matanya hitam sepenuhnya. Dan
senyumannya semakin lebar.
Lampu dalam kereta padam sendiri. Kemudian enjin hidup tanpa kunci. Dan kereta
Hafiz bergerak perlahan sendiri masuk ke jalan gelap di hadapan… bersama
penumpang yang masih belum selesai perjalanannya.
No comments:
Post a Comment