TOK AWANG NGAH : EP43 - MENGAPA TUBUHNYA JADI REPUT
Tidak jadi saya dan Mat Sitam ke Lancang menjemput Ulung Bahar kerana keadaan Saidon semakin teruk. Terkopak papan-papan dinding ditendangnya. Dia terus mengamuk, tidak peduli ditegah oleh Ngah Jamat sekalipun. Sebab itulah saya dan Mat Sitam mengambil keputusan tidak pergi menjemput Ulung Bahar.
Bukanlah bererti kami mengalah kepada kemahuan Saidon yang sudah dirasuk syaitan itumenyebabkan tidak jadi ke Lancang, tetapi kami tidak sampai hati membiarkan Ngah Jamat seorang sahaja lelaki di situ, sekiranya kami berdua pergi. Cuma Mak Ripah isteri Ngah Jamat yang ada di situ. Jiran-jiran lain belum datang kerana masing-masing belum ke rumah dari bekerja. Ada yang ke sawah, ada yang ke kebun, ada yang ke hutan mencari rotan.