SIAPA MAK SOM? (EP VII) : NAMA YANG
DIPADAM DARI BUKU KELAHIRAN
Selepas mengetahui bahawa Mahura
ialah kakak kepada Mak Timah dan ibu saudaranya sendiri, Som percaya dia
akhirnya sudah memahami sebab dirinya dipilih.Tetapi dia silap.
Mak Timah semakin lemah. Kadangkala dia tidak mengenali orang di sekelilingnya. Kadangkala dia bercakap dengan seseorang yang tidak kelihatan.
"Mahura..."
Nama itu masih keluar dari bibirnya. Seolah-olah wanita yang hilang puluhan
tahun dahulu masih berada di sisinya. Pak Salleh mula kehilangan harapan. Bomoh
dipanggil. Orang alim dipanggil. Petua kampung dicuba. Namun keadaan Mak Timah
tetap merosot.
Dan setiap kali keadaannya semakin buruk... retakan di Bukit Sena semakin
melebar. Seolah-olah kedua-duanya saling berkait. Malam itu... Som bermimpi
lagi. Dia berada di hadapan sungai lama. Mahura berdiri di seberang.
Tetapi kali ini dia tidak keseorangan. Di sebelahnya berdiri seorang wanita
tua. Perempuan yang menjaga pondok di hutan. Namun wanita tua itu tidak
kelihatan tua.
Dalam mimpi tersebut...dia kelihatan jauh lebih muda. Dan ketika melihat
wajahnya dengan jelas... Som tersentak. Wajah itu mempunyai persamaan dengan
keluarganya. Persamaan yang sukar dijelaskan.
Sebelum dia sempat bertanya... Mahura berkata..
"Cari buku kelahiran."
Mimpi itu berakhir.
Keesokan paginya... Som menemui Haji Musa. Apabila mendengar tentang mimpi
tersebut... orang tua itu terus membawanya ke rumah tinggal seorang bidan lama yang
telah meninggal dunia bertahun-tahun dahulu. Rumah itu kosong. Dipenuhi habuk.
Tetapi di dalam sebuah almari kayu lama...mereka menemui beberapa buah buku
tebal. Rekod kelahiran kampung. Ada yang bermula sejak tahun 1920-an. Mereka
membuka satu demi satu. Nama. Tarikh. Catatan kelahiran. Sehinggalah mereka
menemui tahun 1958.
Tahun Som dilahirkan. Jari Som menggigil ketika membuka halaman tersebut.
Dan di situ tertulis… Mak Timah binti Awang Melahirkan anak perempuan. Jam 3:07
pagi. Tetapi sesuatu membuatkan Som membeku. Di bawah catatan itu terdapat
kesan dakwat yang dipadam.
Seseorang pernah menulis sesuatu. Kemudian cuba memadamkannya. Namun tulisan asal
masih samar-samar kelihatan. Haji Musa mendekatkan pelita. Dan perlahan-lahan
mereka dapat membacanya. Bayi pertama tidak bernyawa. Som menelan air liur.
"Apa maksud ni?"
Mereka terus membaca. Tulisan seterusnya jauh lebih mengerikan. Bayi kedua
lahir selepas azan Subuh hampir berkumandang. Tangisan pertama kedengaran tanpa
sebab. Bayi menunjukkan tanda yang sama seperti Mahura. Darah Som terasa
membeku.
"Bayi kedua?"
Haji Musa kelihatan pucat. Kerana sepanjang hidupnya...dia hanya tahu Mak Timah
melahirkan seorang anak. Som.
Tiada siapa pernah menyebut tentang bayi pertama. Mereka membuka halaman
berikutnya. Dan di situ...terdapat satu nama yang telah digaris dan dipadam
berulang kali.
Seolah-olah seseorang benar-benar mahu memastikan nama itu hilang.Namun ia
masih boleh dibaca. MAHURA Som terundur.
"Itu mustahil."
Mahura hidup sebelum saya lahir. Haji Musa juga tidak memahami. Tetapi ketika
itulah satu helaian kertas lama terjatuh dari dalam buku. Helaian yang tidak
dicantum bersama buku asal.
Tulisan pada kertas itu adalah tulisan Mak Timah sendiri. Dan air mata mula
mengalir di pipi Som ketika membacanya. Jika seseorang menemui catatan ini... ketahuilah
aku tidak pernah berniat menipu.
Pada malam Som dilahirkan...anakku yang pertama meninggal dunia. Som menggigil.
Tetapi sebelum Subuh... aku melihat Mahura berdiri di sisi katil. Nafas Som
menjadi pendek. Dia mendukung seorang bayi. Bayi yang aku tidak pernah lihat
sebelum itu. Dan dia berkata…
"Ambil dia…Jangan tanya dari mana dia datang."
Air mata Som jatuh ke atas kertas.
Apabila aku sedar... bayi itu berada di sisiku. Dan anakku yang mati telah
hilang. Tangan Som mula menggigil.
Aku tahu perkara ini tidak betul. Tetapi aku juga tahu...jika aku menolak bayi
itu... sesuatu yang lebih buruk akan berlaku. Kertas itu berakhir di situ.
Sunyi memenuhi ruang rumah tua tersebut. Som memandang Haji Musa. Tiada siapa
mampu berkata apa-apa. Kerana satu kemungkinan yang mengerikan mula muncul.
Bagaimana jika... Som bukan bayi yang dilahirkan oleh Mak Timah?
Bagaimana jika... Som ialah bayi yang dibawa oleh Mahura malam itu? Dan
bagaimana jika... makhluk di dalam tempayan telah lama merancang semua ini?
Malam itu... Som kembali ke rumah. Mak Timah sedang nazak. Namun ketika Som
memegang tangannya... wanita tua itu membuka mata buat kali terakhir. Dan
berbisik sesuatu yang membuatkan seluruh dunia Som runtuh.
"Maafkan mak..."
"Aku tak pernah tahu... siapa yang sebenarnya aku peluk malam itu..."
Mak Timah menangis. Kemudian memejamkan mata semula.
Di luar rumah...ribut mula melanda Sungai Manggis. Bukit Sena bergegar. Retakan
pada tanah terbuka semakin luas.
Dan jauh di dalam hutan...ketawa itu bergema semula. Kerana rahsia yang selama ini
tersembunyi akhirnya terbongkar. Som bukan sekadar pewaris Mahura.
Mungkin... dia adalah sebahagian daripada rancangan yang bermula sejak tempayan
itu pertama kali ditanam.
No comments:
Post a Comment