MUNGKIN BETUL MUNGKIN TIDAK, SEKADAR BACAAN HIBURAN CERITA SERAM...JAUHI DARI PERKARA-PERKARA TAHYUL DAN SYIRIK - [Formerly known as LUBUKPUAKA since 2008]

Aug 21, 2026

PENUNGGU DAUN PAMPAS MULA KUASAI RUMAH

 

Sumber : <<MSTAR | MISTIK>>  


PENUNGGU DAUN PAMPAS MULA KUASAI RUMAH

-Mula-mula nampak estetik, lepas dua minggu ‘penunggu’ daun pampas kering mula kuasai rumah!-  



NIAT murni mahu menghias rumah menggunakan bahan hiasan yang dibeli secara atas talian akhirnya meninggalkan pengalaman buruk bagi seorang wanita.

Hanya mahu dikenali sebagai Gee Yahaya, dia mendakwa mengalami gangguan kesihatan dan kejadian pelik selepas membawa masuk daun pampas kering yang dibeli melalui sebuah platform e-dagang ke dalam rumahnya.


Selepas kira-kira dua minggu daun estetik itu menghiasi sudut kediamannya, Gee mula menyedari berlaku perubahan aneh pada dirinya sendiri.

"Aku mula sakit kepala berpanjangan. Sakit yang sangat-sangat sampai muka aku jadi bengkak, mata lagi la.

"Aku pergi kerja dalam keadaan sakit. Lepas dah dekat seminggu aku rasa dalam rumah ni macam pelik sangat, seperti ada kelibat," kongsinya menerusi aplikasi Threads sehingga mencuri perhatian warga maya.

Pokok hiasan kering dikatakan boleh mengundang makhluk halus. -Gambar hiasan AI

Pokok hiasan kering dikatakan boleh mengundang makhluk halus. -Gambar hiasan AI

Susulan keadaan yang semakin merisaukan, Gee kemudian menghubungi ibunya yang didakwa mempunyai ilmu pengetahuan dalam rawatan tradisional.

Setelah menceritakan simptom yang dialami, ibunya bertanyakan sama ada terdapat sebarang barangan baharu dibawa masuk ke rumah.

"Lepas aku beritahu ada, terus dia suruh buang dan minta suami aku pergi bakar. Malam tu juga suami aku bakar daun tu.

"Anda nak tau apa jadi? Aku terus sihat, kepala tak sakit tapi mama ada ajar la... sambil bakar tu ada bacaannya," katanya.

Jelas Gee, perkongsiannya itu bukan untuk menakutkan orang ramai atau menggesa semua orang membuang hiasan seumpamanya, sebaliknya hanya berkongsi pengalaman peribadi.

Katanya, jika orang lain tidak mengalami sebarang masalah, hiasan tersebut tidak perlu dibuang.

Sementara itu, seorang netizen tampil memberikan pandangan bahawa terdapat amalan dalam sesetengah perawat tradisional yang menasihatkan agar tidak menyimpan pokok hiasan kering di dalam rumah.

"Perawat sendiri kata elakkan letak pokok bunga yang dah layu kering sebab ia didakwa tempat kesukaan jin. Tapi orang kita letak sebagai perhiasan dan anggap benda tu cantik, sayang untuk dibuang.

"Hakikatnya mengundang sesuatu yang tak boleh nampak dengan cara zahirnya. Buluh, kayu, ranting pun jangan sesekali buat perhiasan.

"Orang yang tak percaya pasti akan cakap perkara itu karut tapi jangan lupa dalam kehidupan ni bukan kita saja yang hidup," katanya.




No comments: