REVIEW TERAKHIR (EP IV) : RAHSIA
LOTENG
Tetapi anehnya… Setiap kali polis masuk ke rumah tersebut, loteng di tingkat
atas sentiasa berkunci. Dan lebih pelik… Pelan asal rumah itu yang diperoleh
dari pejabat tanah menunjukkan bahawa….Loteng itu sebenarnya tidak wujud dalam
struktur asal rumah.
Baginya semua kehilangan itu hanyalah jenayah biasa. Tetapi pada malam dia
membuka loteng itu… Dia menemui sesuatu yang sepatutnya tidak berada dalam
rumah moden tersebut.
Sebuah bilik lama. Jauh lebih tua daripada usia rumah itu sendiri. Dan di tengah bilik itu… Ada sesuatu yang masih hidup.
Hujan turun lebat ketika Rizal memarkir van kontraktornya di depan homestay bukit tersebut.
Lampu polis masih berkelip di luar rumah. Beberapa anggota forensik berdiri
sambil merokok dalam kesejukan malam.
Seorang pegawai polis menghampirinya.
“Encik Rizal?”
“Ya.”
Pegawai itu memandang rumah tersebut seketika sebelum bersuara perlahan.
“Kami nak encik buka loteng atas tu.”
Rizal mengangguk kecil.
“Simple je tu.”
Tetapi pegawai itu tidak tersenyum.
“Kami dah cuba pecahkan tiga kali.”
“…tak boleh pecah?”
Pegawai itu diam beberapa saat.
“Kunci dia macam… berubah.”
Rizal hanya menganggap mereka membesar-besarkan cerita. Dia masuk ke rumah
sambil membawa toolbox. Rumah itu sunyi. Walaupun ramai orang di luar, suasana
dalam rumah terasa seperti kosong bertahun-tahun. Bau lembap memenuhi udara.
Dan sekali lagi… Tiada satu pun cermin dalam rumah tersebut. Rizal memandang
tangga menuju loteng. Pintu kayu kecil itu kelihatan lama. Terlalu lama untuk
rumah moden seperti itu.
Seolah-olah pintu itu diambil dari rumah lain yang jauh lebih tua. Dia mula
mengetuk tombol besi menggunakan penukul.CLANG! CLANG! Kayu pintu tidak retak
sedikit pun.
“Kayu apa ni…”
Dia cuba menggunakan drill. Mata drill patah. Pegawai polis di belakang mula
gelisah.
“Encik… kalau tak boleh…”
Tiba-tiba bunyi ketukan perlahan kedengaran dari dalam loteng.Tok!... Semua
terus diam.
Tok… tok… tok… Seperti seseorang sedang mengetuk dari sebelah dalam.
Pegawai polis perlahan berundur. Rizal pula mula rasa dingin menjalar di
tengkuk. Kemudian suara perempuan kedengaran perlahan.
“…jangan buka…”
Suara itu datang dari belakang Rizal. Tetapi bila dia berpaling…Tiada sesiapa. Ketika
dia menoleh semula ke arah loteng…Pintu itu sudah terbuka sedikit. Gelap pekat kelihatan
di celah ruang pintu. Dan bau busuk terus keluar dari dalam. Bau mayat lama
bercampur tanah basah.
Pegawai polis mula panik.
“Aku rasa kita tunggu pagi.”
Tetapi Rizal semakin degil. Dia menyuluh lampu suluh ke dalam loteng.
Dan terus membeku. Tangga di dalam loteng… Turun ke bawah. Bukan ke atas. Seolah-olah
ada ruang tersembunyi di bawah rumah.
“Ini bukan loteng…”
Rizal perlahan melangkah masuk. Debu tebal memenuhi ruang sempit tersebut. Tangga
kayu lama berkeriut setiap kali dipijak.
Semakin ke bawah… Dinding berubah. Kayu moden bertukar menjadi papan reput
lama. Simen berubah menjadi tanah lembap. Seolah-olah dia sedang berjalan masuk
ke rumah lain. Rumah yang jauh lebih tua.
Lampu suluhnya mula berkelip. Dan akhirnya dia sampai ke bawah. Rizal berdiri
dalam sebuah bilik sempit. Bilik itu mustahil wujud di bawah rumah moden
tersebut. Dindingnya diperbuat daripada kayu lama penuh simbol aneh. Lilin
hitam memenuhi setiap penjuru.
Dan di tengah bilik… Ada sebuah katil besi karat. Seseorang sedang baring di
atasnya. Tubuh kurus ditutup kain putih lusuh. Tidak bergerak. Rizal perlahan
mendekat. Nafasnya semakin berat. Kemudian tubuh itu bercakap..
“…berapa orang lagi…”
Rizal terus terundur. Suara itu terlalu tua. Terlalu dalam. Seperti ramai orang
bercakap serentak. Kain putih di atas tubuh itu bergerak perlahan. Dan tangan
hitam kurus terkeluar dari bawah kain. Penuh luka jahitan.
Rizal cuba lari. Tetapi pintu tangga di belakang tertutup sendiri. BAM!... Lampu
suluh padam.
Gelap sepenuhnya.
Dalam gelap itu… Rizal mula mendengar suara berbisik memenuhi bilik.
“Dia masih lapar…”
“Belum cukup…”
“Bagi lagi…”
Lampu suluh menyala semula sekejap. Dan kali ini… Tubuh atas katil itu sudah
duduk tegak.
Kain putih jatuh perlahan. Wajahnya tidak lengkap. Seperti banyak wajah manusia
dijahit menjadi satu. Ada mata tambahan pada pipi. Mulut berlapis-lapis
bergerak sendiri.Dan di tengah-tengah semua wajah itu…
Rizal ternampak wajah Nadia. Masih hidup. Masih bergerak perlahan. Matanya
memandang tepat ke arah Rizal sambil menangis darah hitam.
“…tolong bakar rumah ni…”
Makhluk itu tiba-tiba tersenyum luas. Semua mulut pada wajahnya terbuka serentak.
Dan suara berpuluh manusia bergema dalam bilik…..
“DIA TAK BOLEH MATI.”
Lampu terus padam. Jeritan Rizal bergema dari dalam loteng.
Polis menyerbu masuk beberapa minit kemudian selepas mendengar jeritan. Tetapi
loteng itu kosong. Tiada tangga. Tiada bilik bawah tanah. Tiada Rizal. Hanya
toolbox miliknya tertinggal di depan pintu loteng.
Dan pada dinding loteng… Ada ayat baru tercakar menggunakan kuku…..
“PENGHUNI BARU SUDAH TURUN.”
Kes homestay bukit itu terus ditutup selepas beberapa anggota polis mula hilang
seorang demi seorang. Rumah itu akhirnya dibakar.
Tetapi tiga bulan kemudian… Satu listing homestay baru muncul di internet.
Rumah berbeza.
Lokasi berbeza. Tetapi gambar lotengnya sama.
Dan review pertamanya berbunyi….
“Jangan buka pintu atas selepas jam 3:13 pagi.”
No comments:
Post a Comment