KOLEKSI TOK AWANG NGAH : EPISODE 39 - JEMBALANG TANAH DI BUSUT HITAM
PANTANG larang turun temurun tetap dipegang oleh nenek kukuh-kukuh menjadi petua yang mesti dipatuhi. Dia tidak akan melanggar pantang larang dari yang sekecil-kecil hinggalah yang sebesar-besarnya. Kalaulah tidak disebabkan dia sudah bertekad tidak mahu menjadi bidan lagi selepas saya dilahirkan, memang neneklah satu-satunya bidan yang diharapkan oleh orang-orang kampung.
Apalagi tatkala orang kampung tidak lagi menumpu ke hospital seperti sekarang, memang bidan seperti nenek saya inilah tempat mereka mengantung harapan. Bukan nenek sahaja mereka perlukan Dukun Samid dengan Mudim Encol juga menjadi tumpuan mereka.