Ketika salakan anjing memanjang di tengah malam, Kasman masih menulis lagi di mejanya. Sekali sekala dia terkuap-kuap juga menahan rasa mengantuk, tetapi dia mahu siapkan juga kerja nya. Dia ditukarkan ke Sabah beberapa bulan sebelumnya dan berkhidmat di Labuan. Ketika ini masih banyak lagi masalah kerana masyarakat di Sabah belum dapat menerima kenyataan sebenarnya tentang negara baru Malaysia. Mereka menganggap orang dari Semananjung sama juga seperti bangsa Inggeris yang pernah menjajah negeri mereka.
Tetapi Kasman tidak peduli dengan kedudukan demikian. Dia mempunyai rakan-rakan baik serta ramah mesra di Labuan. Pernah juga dia menulis surat kepada saya mengenai keseronokannya berkhidmat di Sabah. Dari gambaran yang diberkannya teringin juga saya mahu ke Sabah, tetapi sehingga saat ini saya masih belum menjejakkan kaki lagi ke Sabah.