Misteri haruman daun pandan, adakah dari penunggu…
WANITA berseragam putih merah yang di dada kirinya tertera logo syarikat pembersihan itu, melihat jam yang dipakainya. Jarum menghampiri 10.00 malam. Hanya berbaki sejam sahaja waktu kerjanya akan habis di sebuah hospital di utara tanah air.
Sebagai seorang cleaner, Rozi akan memastikan wad pembedahan yang terletak di tingkat bawah hospital sentiasa dalam keadaan bersih. Begitulah rutin Rozi bersama empat lagi rakannya. Sudah lebih 15 tahun dia bertugas di situ.
Seperti biasa hari itu, Rozi bertugas dari pukul 3.00 petang hingga 11.00 malam bersama rakannya. Tapi entah mengapa, malam itu dia berasa sedikit canggung. Hujan yang mulanya renyai bertukar menjadi lebat diiring petir sabung-menyabung.