KOLEKSI TOK AWANG NGAH : SIRI 38 - DITIMPA BADI RUSA JANTAN
Tergerak juga di hati Mail Togok mahu membawa isterinya Kimah balik sahaja ke rumah, tetapi bimbang jua dia kalau keluarga isterinya akan salahkan pula dia. Memanglah dia berhak pada diri Kimah sebagai isterinya, namun dalam keadaan Kimah terbaring di katil hospital, dia perlukan juga pandangan sanak saudara. Manalah tahu perkara buruk berlaku, tentu siapa pun tidak boleh disalahkan.
Sudah lama sangat Kimah terlantar di katil hospital sejak hampir sebulan dimasukkan ke wad. Terpaksa juga Mail Togok bawa isterinya ke hospital dengan tidak memberitahu sanak saudara terlebih dahulu. Manalah dia dapat menahan sabar tatkala Kimah mengerang-ngerang di tengah malam menangung sakit kepala.