BARU saja mahu melelapkan mata isteri saya menggerakkan kerana ada orang memanggil dari tengah halaman. Dalam keadaan terkuap-kuap itulah saya memetik lampu lalu membuka pintu hadapan. Seorang lelaki separuh umur terkial-kial menupang motorsikal hondanya.
"Maaflah ustaz saya mengganggu..." cepat-cepat dia bersuara sebaik saja pintu terbuka.
Saya tersengih-sengih sambil terkuap-kuap. Mata memang sudah mengantuk walau pun baru pukul 10 lebih. Tetapi sudah menjadi kelaziman saya tidur awal sedikit kerana akan bangun semula pada tengah malam. Bangun tengah malam ini pun bukanlah dilakukan setiap malam, cuma saya lakukan apabila malam Jumaat. Saya akan melakukan Sunat Tahjud diikuti dengan Sunat Tasbih juga.

