TAMAR JALIS
SIRI BERCAKAP DENGAN JIN
JILID 1
SBDJ (JILID 1) : SIRI 11 - MENUNGGANG HARIMAU DITENGAH MALAM
Tiba‐tiba Timah muncul dari bawah rumah. Rambutnya tidak terurus. Mukanya kelihatan pucat dan matanya nampak tidak bercahaya. Dia semacam takut saja melihat kedatangan kami. Ketua Kampung segera memberi tahu tujuan kedatangan datuk dan saya. Timah tersenyum lalu mempersila kan kami naik ke rumah.
"Minta maaf ye," kata datuk sambil memandang ke wajah Timah. "Rumah ini ada dua bilik, yang satu lagi untuk siapa?"
"Untuk …," Timah terdiam. Dia merenung muka Ketua Kampung. Melihat keadaan itu datuk tidak mengemukakan pertanyaan lagi.
"Memang rumah ini ada dua bilik, saya ingat kerana saya yang mendirikan rumah ini bersama arwah suaminya dulu," kata Ketua Kampung memberi penjelasan.