Gadis misteri berpurdah, ular tunjuk jalan keluar. Pemuda ini cerita apa yang berlaku semasa hilang 7 hari di bukit Broga
SAYA ingat lagi, hari itu Ahad, 22 Januari 2017. Majikan mengajak saya bersama empat lagi rakan sekerja mendaki bukit Broga yang terletak di Semenyih, Selangor.
Pagi itu, saya menghubungi ibu, Rohana Saad, di kampung meminta izin untuk turut serta. Ibu mengizinkan dan berpesan supaya saya menjaga diri.
Seperti yang dirancang, sekitar pukul 4.00 petang, kami sampai di kaki bukit dan pendakian dimulakan. Saya hanya memakai selipar saja. Ini kali pertama saya menjejakkan kaki ke bukit tersebut.
Kami seramai enam orang memulakan pendakian. Saya berjalan di depan sekali, mengikut trek. Kurang sejam berjalan, saya sudah jauh meninggalkan rakan-rakan lain di belakang. Saya sudah sampai di peringkat kedua. Dari atas, saya nampak kelibat rakan-rakan lain yang masih menapak meneruskan pendakian. Saya berhenti seketika untuk menunggu rakan-rakan tiba.
Apabila mereka semakin hampir, saya melangkah semula meneruskan pendakian ke peringkat ketiga. Ketika berjalan itu, saya berselisih dengan beberapa orang pendaki lain yang dalam perjalanan turun ke bawah.