MUNGKIN BETUL MUNGKIN TIDAK, SEKADAR BACAAN HIBURAN CERITA SERAM...JAUHI DARI PERKARA-PERKARA TAHYUL DAN SYIRIK - [Formerly known as LUBUKPUAKA since 2008]

Aug 13, 2010

SBDJ Siri 7 -Terkencing Dalam Seluar

Bulan di langit mula dilitupi awan. Angin kian keras bertiup. Bunyi dedaun yang bergeseran sama sendiri amat menakutkan. Dan datuk terus melangkah dengan tenang. Api yang memakan daun kelapa, sekerap marak, sekejap suram.

"Kenapa kita ikut sini tok ?" tanya saya. Tidak ada jawapan yang diberikan oleh datuk, bunga-bunga api dari andang daun kelapa jatuh atas bumi. Saya tidak tahu kenapa datuk ikut jalan ini. Kenapa dia tidak mahu ikut jalan biasa yang mudah dan senang. Tidak perlu melintas tanah sawah yang luas terbentang.

Saya yang memakai baju Melayu cekak musang terpaksa mengulung lengan baju hingga ke siku, kasut getah dan hujung seluar hitam saya mula basah diresapi oleh aori embun. Langkah datuk terus lancar. Andang kelapa diangkatnya tinggi-tinggi.

"Kita patah balik ikut jalan lain tok," saya mengemukakan cadangan. Datuk berhenti. Dia cacakkan andang daun kelapa tepi batas. Datuk membuang pacat yang singgah di kaki seluarnya.

"kenapa mesti patah balik, ikut sini dekat," datuk cabut andang daun kelapa. Saya diam.

Cakapnya tidak boleh dibantah. Saya melangkah dengan hati-hati. Silap langkah nanti jatuh ke dalam sawah. Cahaya dari andang daun kelapa menerangi rumpun-rumpun padi yang baru pecah anak, sesekali terdengar bunyi haruan melompat dalam air sawah menangkap anak. Suara burung hantu dan jampuk saling tingkah meningkah. Bulan sudah tidak mengeluarkan sinarnya. Wwan telah kelindungi permukaan bulan. Suara lolongan anjing kian bertambah keras. Daun-daun dari pokok besar yang memagari batas sebelah kanan tetap bergerak hebat. Angin malam cukup keras bertiup. Badan saya rasa cukup dingin.

"Lagi cepat kita sampai, lagi baik," suara datuk parau. Dia menoleh ke arah saya.

"Saya sejuk tok, jauh lagi ke ?"

"Ah, kejap lagi sampailah, sekarang kau jalan dulu, biar aku ikut kau dari belakang." Itu perintah datuk. Badan saya jadi mengeletar, macam-macam perkara buruk datang dalam hati saya.

"Tok jalan dulu, saya tak tahu jalan," saya berdalih.

"Kau tak tahu, atau pun kau takut ?" Datuk ketawa. Dia memaksa saya jalan dulu. Saya tidak ada pilihan lain. Saya menurut perintahnya. Saya dan datuk sampai di sebuah taliair. Datuk menyuruh saya ke belakang. Lama juga dia berhenti di tepi taliair itu sambil merenung pada air yang mengalir.

"Jalan ke depan lagi, di sana ada titi tak payah kita melompat," ucap datuk dengan tenang. Kami mara ke depan. Berhenti di bawah pokok mempelam telur yang berdaun lebat. Cakap datuk memang tepat, di pangkal pokok mempelam telur terdapat titi batang pinang. Kami menyeberang dengan selamat, dari situ kami mendaki bukit kecil yang penuh dengan pokok pisang hutan, selesai mendaki bukit itu , kami berhadapan dengan sebatang jalan tanah merah ynag lebarnya kira-kira dau kaki.

"Ikut jalan ini ke utara," ujar datuk sambil meraba ulu golok peraknya. Saya anggukkan kepala dua tiga kali. Berjalanlah saya dengan datuk, suara burung hantu terus juga menyumbat lubang telinga. Kami melintasi sebuah tanah perkuburan. Dari sinar api andang daun kelapa itu, saya melihat batu-batu nisan terpacak dengan gagahnya. Suara burung hantu kian kuat. Suara salakkan anjing kian dekat terdengar. Pokok-pokok puding dan pokok-pokok kecil lain yang berhampiran dengan tanah kubur saya lihat bergerak-gerak, bagaikan ada benda yang menggoncangnya.

Awan tebal yang melindungi bulan mula beredar, dan sinar bulan mula menerangi sebahagian dari jalan yang kami lalui, tiba-tiba awan tebal datang kembali menutup bulan dan andang kelapa yang saya bawa pun padam. Datuk berhenti, dia membakar andang kelapa yang baru, memang datuk membawa dua tiga andang daun kelapa untuk digunakan dalam satu-satu keadaan yang tertentu.

"Jalan cepat sikit, aku rasa tak berapa sedap hati di sini," datuk menyuarakan suara hatinya. Saya diam.

"Langkah panjang sikit,"tambah datuk lagi. Saya hanya boleh anggukkan kepala sahaja. Tidak lebih dari itu. Angin malam yang bertiup menjatuhkan dedaun tua dan ranting-ranting, berderup-derup bunyinya, bagaikan orang mematah kayu kering. Saya mula terasa cemas, tapi saya tidak menyatakan hal pada datuk.

Saya dan datuk jalan dan terus berjalan, matlamat kami mahu sampai ke rumah Anjang Dollah dengan secepat mungkin. Barangkali Anjang Dollah sudah bersila di muka pintu menanti kedatangan kami, agaknya Anjang Dollah sudah menyediakan semua barang yang digunakannya untuk kami, fikir saya dalam hati.

Tanah perkuburan tua agak jauh kami tinggalkan. Dada saya terasa lapang, tapi batin saya terus menyumpah seranah suara burung hantu yang seakan-akan mengikuti langkah kami. Datuk berhenti berjalan.

"Siapa tu," suarnya perlahan. Saya merenung ke depan. Saya terpandangkan benda putih berjalan terhincut-hincut di depan datuk dan saya, kerana bulan dilitupi awan tebal dan cahaya dari andang datuk tidak menyala dengan baiknya, saya tidak dapat melihat dengan jelas benda tersebut.

"Barangkali ada orang nak lalu," datuk bersuara tenang. Saya juga sependapat dengan datuk. Suara burng hantu dan jampuk bertambah galak. Salakkan anjing bertalu-talu, sayup-sayup dan memanjang pula, bagaikan orang menangis di malam sepi. Benda putih terus menghampiri kami, bila datuk mahu menegurnya, benda putih tersebut itupun hilang. Entah ke mana. Saya tidak dapat mempastikan apakah dia masuk ke dalam hutan pokok pisang di kanan, atau masuk ke dalam belukar di kiri jalan. Benda putih itu menjelma di depan kami lagi.

"Bukannya manusia," datuk membisik ke telinga saya. Serentak dengan itu dia memadam api andang daun kelapa.

"Kita ke tepi, biarkan dia lalu," perintah datuk. Saya patuh pada arahan datuk. Kami berdiri di balik pokok getah besar. Benda putih itu melintas di depan kami. Saya tidak dapat melihat bentuk mukanya. Apa yang saya lihat pada benda putih itu berjalan tanpa kaki, tidak mempunyai kepala. Berjalan menuju ke kawasan tanah perkuburan, saya dan datuk melihat Anjang Dollah datang membawa cangkul.

"Apa ni tok," tanya saya pada datuk.

"Kau diam, kau ikut saya apa yang aku buat,"

"Baik tok," saya menoleh ke kiri dan ke kanan. Datuk melangkah ke jalan tanah merah. Dia menarik tangan saya mengikuti langkah Anjang Dollah menuju ke kawasan perkuburan. Saya menurut sahaja. Dua tiga kali saya tersungkur kerana tersepakkan batu-batu nisan. Datuk berhenti.Saya mendongak ke langit, awan tebal sudah berlalu dari sisi bulan. Dengan pertolongan sinar bulan enam belas, kami dapat apa yang dilakukan oleh Anjang Dollah. Dia sedang mencangkul tanah perkubur. Benda putih duduk dekat batu nisan.

Anjang Dollah dapat menyelesaikan semua tugas-tugas dalam masa kurang lebih empat puluh lima minit. Seluruh badannya dibasahi peluh, nampak berminyak-minyak ditampar sinar rambulan enam belas. Dia duduk di pangkal pokok cempedak. Kemudian dia berkata pada kawannya yang nampak putih itu. Benda putih tanpa kepala dan kakai itu, bagaikan terawang-awangan, bergerak dan berhenti di depan Anjang Dollah.

"Hai sahabatku, tunggu di sini, biarkan aku ambil kain kapan dan rambut perempuan, kemudian kau bawa barang-barang itu pulang ke rumah kita kau tunggu aku di sana, aku tak boleh balik bersama, kerana banyak kerja yang mahu aku selesaikan," itulah yang dicakapkan oleh Anjang Dollah pada sahabatnya.

Anjang Dollah terjun ke dalam kubur. Dia mengambil kain kapan orang mati beranak dan rambut. Lama juga Anjang Dollah berada di dalam lubang kubur. Benda putih tanpa kepala dan kaki berlegar-legar di tepi kubur. Kadang-kadang dia nampak bagaikan duduk di akar pokok cempedak. Suara burung hantu kian gamat. Suara jampuk bersahut-sahutan. Lolong anjing tingkah meningkah. Suara dahan kayu berlaga sama sendiri jelas kedengaran di rempuh angin malam. Ranting tua dan daun tua gugur ke bumi.

Saya bagaikan terdengar bunyi orang berjalan di belakang. Bila ditoleh , tidak ada apa-apa. Saya bagaikan terdengar bunyi burung terbang di atas kepala. Bila diperhatikan tidak ada apa-apa. Bulu tengkok saya berdiri tegak. Macam-macam perkara aneh saya rasakan. Saya rapat pada datuk yang duduk tenang. Mulunya membaca sesuatu, saya sendiri tidak tahu apa yang dibaca olehnya.

"Kau ingat, tidak ada benda yang berkuasa di dunia ini, selain daripada Allah yang maha besar, dan tiada manusia yang boleh melawan kekuasaannya. Ingatkan Allah yang maha besar," datuk memberitahu saya, bila dilihatnya saya mengeletar sendirian.

"Kau lihat di depan," datuk menajamkan mulutnya ke arah kubur yang digali oleh Anjang Dollah. Saya merenung ke depan. Saya lihat benda putih tanpa kepala dan kaki itu terjun ke dalam kubur. Saya terdengar bunyi suara Anjang Dollah terpekik dalam kubur, tanah kubur berterbangan ke udara, serentak dengan itu juga saya dengar suara mengaum macam suara harimau dari dalam kubur.

Suara jeritan Anjang Dollah beransur lemah. Tanpa dapat ditahan datuk meluru ke tanah kubur. Datuk mahu menolong Anjang Dollah, dia mengambil sepotong kayu, lalu memukul benda putih yang keluar dari lubang kubur. Setiap kali datuk memukulnya, benda itu tidak melawan, malah dia mengelak, akhirnya ghaib dari kawasan perkuburan. Datuk memanggil saya, waktu saya mahu sampai dekat datuk, saya rasa pangkal seluar saya basah. Sesungguhnya, saya tidak sedar waktu bila saya terkencing dalam seluar. Datuk suruh saya membakar andang daun kelapa. Saya patuh dengan cakapnya. Bila andang daun kelapa sudah terbakar. Kawasan sekitar tanah kubur yang digali oleh Anjang Dollah terang.

"Kau lihat ," datuk menuding jari kelingkingnya ke dalam lubang kubur. Lubang kubur saya jenguk. Anjang Dollah terbaring di dalamnya. Seluruh mukanya berdarah. Di sebelahnya terdapat mayat seorang perempuan, kepalanya sudah terpisah dengan badan. Kain kapannya sudah koyak dan berdarah.

"Perbuatan yang dikutuki oleh Allah, perbuatan sesat yang terpisah dari ajaran agama, cuma orang yang tidak beriman dan tidak percayakan Allah saja yang berani membuat kerja sial ini," datuk merungut panjang. Saya renung muka datuk. Wajahnya penuh kesal. Memang, di luardugaan datuk, bahawa pawang Anjang Dollah boleh membuat kerja yang tidak direlakan oleh agama Islam.

"Apa yang patut kita buat datuk," saya menyoal datuk. Lama juga datuk termenung di situ. Saya tidak tahu apa yang difikirkannya.

"Sebagai orang Islam, Anjang Dollah tidak boleh dibiarkan begini, dia harus dimandikan, dikapan dan ditanam serta dibacakan talkin," terang datuk.

"Siapa yang mahu menguruskan semuanya ini."

"Siapa lagi, kita yang mesti menyelesaikannya," datuk bersuara tegas.

"Dia membuat kerja yang silap, biarkan dia di situ," bantah saya. Datuk senyum. Suara burung hantu dan jampok terus bersahut-sahutan, tapi suara salakkan anjing sudah tidak ada lagi. Bunyi dahan jatuh masih kedengaran.

"Kau silap, kita tahu dia memang beragama Islam, soal dia membuat kerja yang tidak baik tu, soal dia dengan Tuhan," datuk memberitahu saya. Datuk membuat keputusan yang tepat. Dia mahu memberitahu pada seluruh penduduk tentang peristiwa yang menimpa diri Anjang Dollah. Dia mahu menghebahkan hal itu ke seluruh kampung. Datuk juga mengharap pada sesiapa yang mengambil ilmu salah atau yang berguru dengan Anjang Dollah supaya bertaubat dan membuangkan semua ilmu itu untuk kembali ke jalan Allah.

Saya merenung ke dalam kubur kembali. Saya lihat mayat perempuan mati beranak itu masih berdarah, saya kira perempuan itu tentu sahaja baru ditanam. Hal itu saya tanyakan pada datuk.

"Agaknya dia mati semalam," kata datuk.

Dia menarik tangan saya keluar dari kawasan perkuburan. Kami berpatah balik menuju ke kampung. Bila sampai di kampung nanti, datuk mahu melapurkan perkara itu kepada penghulu. Kami kembali meredah tanah sawah yang luas terbentang. Kali ini saya tidak mahu berjauhan dengan datuk. Datuk tahu perasaan hati saya. Dia menyuruh saya memegang painggang seluarnya.

Sebaik sahaja kami sampai di gigi kampung, saya dan datuk terserempak dengan Imam Hamid. Dia agak terkejut bila kami nyatakan yang kami baru sahaja kembali dari tanah kubur.

"Apa halnya," tanya Imam Hamid.

"Panjang ceritanya dan Pak Imam ni dari mana," soal datuk.

Imam Hamid terdiam. Kemudian dia memberitahu kami, bahawa dia juga mahu pergi ke kubur.

"Apa sebabnya," datuk mengemukakan soalan. Imam Hamid diam sejenak.

"Anak aku Sepinah mati beranak, dah ditanam pun pagi semalam."

"Kami tak tahu," jawab datuk.

"Silap aku, aku mahu menanamnya cepat, tiba-tiba malam ini hati aku teringatkan dia, aku bimbang kuburnya dikorek orang, kau sendiri tahulah sekarang, kubur perempuan mati beranak suka sangat digali orang," terang Imam Hamid.

Mendengar cakap Imam Hamid itu, wajah datuk segera berubah. Dia mula ragu dengan apa yang dituturkan oleh Imam Hamid. Jauh dalam hati datuk, timbul satu pertanyaan apakah Imam Hamid bersubahat dengan Anjang Dollah dalam perkara ini ? Datuk terus menepuk bahu Imam Hamid dalam mengajak dia pulang. Imam Hamid keberatan. Datuk terus memujuk. Ada sesuatu yang mahu disoal oleh datuk pada Imam Hamid. Kalaulah Imam Hamid membuat kerja terlarang, dia mahu memujuknya supaya kembali ke jalan Allah.

"Ke rumah saya saja malam ini, ada hal yang mahu saya tanya pada Pak Imam," kata datuk. Mendengar cakap datuk itu muka Imam Hamid berubah menjadi pucat.

Amir[Pearl] - Iktibar Ramadhan


Nun di sana anak kehilangan
Ibu dan ayah... entah di mana
Nun di sana masih kedengaran
Tangisan insan yang kelaparan

Kesedihan melanda
Derita yang berpanjangan
Belas kasihan pengharapan
Dari redup mata yang lemah
Tak siapa dapat merasa
Di manakah belas kasihan

Ramadhan menginsafkan kita
Kesusahan mereka semua
Ramadhan menyedarkan kita
Senang tak lama
Bahagia tak kekal
Ketenangan hanya padaNya
Kembalilah kepadaNya

Nun di sana masih ada jalan
Putih peluang kebaikan
Sebulan di bulan Ramadhan

Nun di sana anak kehilangan
Ibu dan ayah... entah di mana
Nun di sana masih kedengaran
Tangisan insan yang kelaparan


*** Lagu ni dinyanyikan oleh Amir, vokalis kump. rock PEARL
Lagu ini dicipta khas buat mangsa2 keganasan di Palestine

Aug 7, 2010

10 PETANDA DIA JODOH KITA

Diipetik drp page Ust. Hj. Abdul Samad

pada 22hb Mei 2010 pukul 6.00 ptg
Firman Allah SWT, bermaksud "Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu" (Surah Muhammad, ayat 7)


Gunakan seluruh pancaindera

Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah yang maha Esa. Tetapi bagaimana kita mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Allah SWT mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan aka untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi , spiritual dan fizikal antara keduanya. Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan?

Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita.

1.Bersahaja
Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.

2.Senang bersama
Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.

3.Terima kita seadanya
Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.

4.Sentiasa jujur
Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.

5.Percaya Mempercayai
Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.

6.Senang Bekerjasama
Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?

7.Memahami diri kita
Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, "lidah sendiri lagikan tergigit", inikan pula suami isteri'. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.

8.Tampilkan kelemahan
Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya.Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.

9.Kata hati
Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindakbalas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.

10.Solat Istikharah dan Tawakkal
Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak hati. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Allah memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepadaNya dan terus berdoa. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara.Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya
.

Aug 6, 2010

Doa Ramadhan

Hari Pertama
“Ya Allah, jadikanlah puasaku, puasa orang benar-benar berpuasa. Dan ibadah malamku, ibadah orang benar-benar mengerjakan ibadah. Dan jagalah aku dari tidurnya orang yang lalai. Hapuskanlah dosaku wahai Tuhan sekalian alam. Dan Ampunilah aku wahai Tuhan maha pengampun daripada segala dosa.”

Hari Kedua
“Ya Allah, dekatkan aku kepada keredaan Mu dan jauhkan aku daripada kemurkaan serta balasan Mu. Berilah aku kemampuan membaca ayat-ayat Mu dengan rahmat Mu, wahai Tuhan Maha Pengasih”

Hari Ketiga
“Ya Allah limpahkan aku dengan kecerdikan fikiran dan kewaspadaan serta jauhkan aku daripada kebodohan dan kesesatan. Sediakan bahagian ku daripada kebaikan yang kau turunkan., demi kemurahan Mu, wahai Tuhan Maha Pemurah daripada segala dermawan.”

Hari Keempat
“Ya Allah berilah kekuatan kepada ku untuk melaksanakan perintah Mu dan berilah aku kemanisan
berzikir. Berilah aku kekuatan melahirkan kesyukuran dengan kemuliaan Mu. Dan jagalah aku dengan jagaan dan perlindungan Mu, wahai Tuhan Maha Melihat.”

Hari Kelima
“Ya Allah, tempatkan aku di kalangan orang yang sentiasa memohon keampunan. Jadikanlah aku hamba Mu yang saleh serta jadikanlah aku di kalangan auliya’ (orang yang mendapat keutamaan Mu) yang hampir di sisi Mu dengan kelembutan Mu, wahai Tuhan yang Maha pengasih daripada segala pengasih.”

Hari Keenam
“Ya Allah, janganlah aku dihina kerana perbuatan maksiat ku kepada Mu dan janganlah menyeksa ku dengan balasan Mu. Jauhkan aku daripada sesuatu yang boleh
mendatangkan kemurkaan Mu, dengan anugerah dan bantuan Mu, wahai kemuncak keinginan orang yang berkeinginan.”

Hari Ketujuh
“Ya Allah bantulah aku untuk mengerjakan puasa dan ibadah malamnya. Jauhkanlah aku daripada dosa-dosanya. Dan berilah aku zikir untuk mengingati Mu secara berterusan, dengan taufik (petunjuk) Mu wahai pemberi petunjuk kepada orang yang sesat.”

Hari Kelapan
“Ya Allah, berilah aku rezeki berupa kasih sayang kepada anak-anak yatim, pemberi makanan, penyebar salam dan bergaul dengan mulia, dengan kemuliaan Mu tempat berlindung orang yang berharap.”

Hari Kesembilan
“Ya Allah, sediakan bagi ku sebahagian daripada keluasan rahmat Mu. Berilah aku petunjuk dengan ajaran-ajaran Mu. Bimbinglah aku menuju keredaan Mu yang penuh dengan kecintaan Mu, wahai harapan orang yang merindu.”

Hari Kesepuluh
“Ya Allah, jadikan aku di antara orang bertawakal kepada Mu dan jadikan aku di kalangan orang yang menang di sisi Mu. Ya Allah, jadikan aku di kalangan orang yang dekat di sisi Mu. Dengan ihsan Mu wahai tempat tuju orang yang memohon.”

Hari Kesebelas
“Ya Allah, tanamkan dalam diri ku kecintaan melakukan kebaikan dan kebencian melakukan perbuatan maksiat serta fasik. Ya Allah jauhkan ku daripada kemurkaan Mu dan seksaan api neraka, dengan pertolongan Mu wahai Tuhan yang menolong orang memerlukan pertolongan.”

Hari Kedua Belas
“Ya Allah, hiasilah diri ku dengan penutup dan kesucian. Tutuplah diri ku dengan pakaian kesederhanaan dan kerelaan. Tempatkan aku di jalan keadilan dan keikhlasan. Amankan diri ku daripada setiap perkara yang aku takut, dengan penjagaan Mu, wahai penjaga orang yang takut.”

Hari Ketiga Belas
“Ya Allah, bersihkan diri ku daripada kekotoran dan kehinaan. Berilah kesabaran kepada ku untuk menerima segala ketentuan. Berilah kemampuan kepada ku untuk bertakwa dan bergaul dengan orang baik, dengan bantuan Mu wahai pengharap orang yang miskin.”

Hari Keempat Belas
“Ya Allah, jangan aku dihukum disebabkan kekeliruan yang ku lakukan. Ampunkan aku daripada kesalahan dan kebodohan. Janganlah kau jadikan diri ku sasaran bala dan malapetaka, dengan kemuliaan Mu wahai kemuliaan kaum Muslimin.”

Hari Kelima Belas
“Ya Allah limpahkan rezeki kepada ku berupa ketaatan orang yang khusyuk. Lapangkan dada ku dengan taubat orang yang menyesal, dengan keamanan Mu wahai keamanan orang yang takut.”

Hari Keenam Belas
“Ya Allah, berilah kemampuan kepada ku untuk menjalani kehidupan seperti mana kehidupan orang baik. Jauhkan bagi ku kehidupan orang yang melakukan kejahatan. Lindungilah aku dengan rahmat Mu hingga ke alam akhirat, demi ketuhanan Mu wahai Tuhan sekalian alam.”

Hari Ketujuh Belas
“Ya Allah, tunjukkan bagi ku amal kebajikan dan penuhilah hajat serta cita-cita ku, wahai Tuhan yang Maha Mengetahui segala keperluan tanpa ungkapan permohonan. Wahai yang Maha Mengetahui segala yang ada dalam hati sekalian makhluk. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad dan keluarga baginda yang suci.”

Hari Kelapan Belas
“Ya Allah, sedarkan aku untuk mencari keberkatan. Terangkan hati ku secerah cahaya dan bimbinglah aku serta anggota ku untuk mengikuti segala ajaran Mu, dengan cahaya Mu wahai penerang hati orang yang bijak.”

Hari Kesembilan Belas
“Ya Allah, penuhkan bahagian ku dengan keberkatan dan mudahkan bagi ku menuju ke arah kebaikan. Jangan kau jauhkan aku daripada ketenteraman kebaikan, wahai pemberi petunjuk kepada kebenaran.”

Hari Kedua Puluh
“Ya Allah, bukakan bagi ku pintu-pintu syurga dan tutupkan bagiku pintu-pintu neraka. Berilah kemampuan kepada ku untuk membaca ayat-ayat suci al-Quran, wahai pemberi ketenangan dalam hati orang beriman.”

Hari Kedua Puluh Satu
“Ya Allah, berilah aku petunjuk untuk mendapat keredaan Mu. Janganlah engkau biarkan syaitan menguasai diri ku. Jadikan syurga tempat tinggal dan berehat bagi ku, wahai pelaksana keperluan orang meminta.”

Hari Kedua Puluh Dua
“Ya Allah, bukakan bagi ku pintu kelebihan dan turunkan bagi ku keberkatan mu. Berilah kepada ku untuk melakukan sesuatu yang mendatangkan keredaan Mu dan tempatkan aku dalam syurga Mu yang luas, wahai penjawab doa orang dalam kesempitan.”

Hari Kedua Puluh Tiga
“Ya Allah bersihkan aku daripada segala dosa dan jauhkan diri ku daripada keaiban serta tanamkan ketakwaan dalam hati ku, wahai pengampun kesalahan orang yang berdosa.”

Hari Kedua Puluh Empat
“Ya Allah, aku bermohon kepada Mu perkara yang mendatangkan keredaan Mu. Aku berlindung dengan Mu daripada perkara yang mendatangkan kemarahan Mu dan aku bermohon kepada Mu kemampuan untuk mentaati Mu serta menghindari kemaksiatan terhadap Mu, wahai pemberi kepada yang meminta.”

Hari Kedua Puluh Lima
“Ya Allah, jadikan aku orang yang menyintai auliya’ Mu dan memusuhi musuh Mu. Jadikan aku pengikut sunnah nabi Mu, wahai penjaga hati para Nabi.”

Hari Kedua Puluh Enam
“Ya Allah, jadikan usaha ku sebagai usaha yang sentiasa disyukuri, dosa-dosa ku sebagai dosa yang diampuni, kebaikan ku sebagai kebaikan yang diterima dan keaiban ku sebagai keaiban yang ditutupi, wahai Tuhan Maha Mendengar daripada semua pendengar.”

Hari Kedua Puluh Tujuh
“Ya Allah, berilah rezeki berbentuk ganjaran Lailatul Qadar kepada ku, ubahkan perkara sulit menjadi mudah, makbulkan permintaan maaf ku dan hapuskan dosa serta kesalahan ku, wahai Tuhan Maha Penyayang kepada hamba soleh.”

Hari Kedua Puluh Lapan
“Ya Allah, penuhkan hidup ku dengan amalan sunnah dan muliakan aku dengan diterimanya semua permintaan, wahai Tuhan yang tidak disibukkan oleh permintaan orang meminta.”

Hari Kedua Puluh Sembilan
“Ya Allah, hiasilah aku dengan rahmat Mu dan berikanlah aku petunjuk serta penjagaan Mu. Bersihkan hati ku dengan fitnah, wahai pengasih kepada hamba yang beriman.”

Hari Ketiga Puluh
“Ya Allah, jadikan puasa ku disertai dengan rasa syukur dan diterima oleh Mu melalui jalan keredaan Mu serta keredaan rasul Mu, cabangnya yang kukuh dan kekuatan keberkatan, demi kenabian Muhamad saw dan keluarga baginda yang suci dan segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.”



Di petik dari beberapa laman blog...berdoa lah dari hati yang ikhlas